Selasa, 21 Julai 2020 | 1:11pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed - NSTP/Asyraf Hamzah
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed - NSTP/Asyraf Hamzah

#MyMudah bantu perniagaan elak kerenah birokrasi

KUALA LUMPUR: Kerajaan mewujudkan inisiatif 'MalaysiaMudah' (#MyMudah) yang bermatlamat membantu syarikat dan perniagaan daripada dibebani peraturan tidak perlu serta kerenah birokrasi.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata inisiatif itu juga bertujuan mengurangkan kos perniagaan selain merangsang pewujudan peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi.

Katanya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memandang serius hal ini, justeru mengarahkan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) serta Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) melakukan intervensi dan bertindak sebagai badan penyelesai masalah dalam menanganinya.

"Perkara ini diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang dipengerusikan beliau semalam.

"Pemilik syarikat dan perniagaan terbabit boleh mengemukakan beban peraturan dan birokrasi yang mereka hadapi melalui Portal Konsultasi Awam Atas Talian (Unified Online Public Consultation Portal) selain pelbagai sesi libat urus yang dilaksanakan oleh EAC dan MPC.

"Beban yang dibangkitkan akan dianalisis oleh Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH), seterusnya dibawa ke mesyuarat EAC untuk dinilai sebelum keputusan dibuat," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mustapa berkata, keputusan yang dibuat di mesyuarat EAC akan dilaksanakan oleh kementerian dan kerajaan negeri terbabit.

Melalui inisiatif itu, katanya, kementerian dan kerajaan negeri akan dapat mengurangkan peraturan tidak perlu serta meningkatkan kecekapan

perfungsian dan operasi mereka.

"Selain itu, kementerian dan kerajaan negeri juga diminta untuk menetapkan sasaran yang jelas dalam usaha mengurangkan kos pematuhan peraturan (termasuk jumlah prosedur dan jangka masa pemprosesan) yang dikenakan kepada syarikat dan perniagaan.

"PEMUDAH akan memantau prestasi setiap kementerian dan kerajaan negeri dan membuat laporan berkala kepada Majlis Tindakan

Ekonomi.

"Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui MPC juga akan memberi panduan dan khidmat nasihat kepada semua kementerian dan kerajaan negeri dalam perlaksanaan inisiatif ini," katanya.

Berita Harian X