X
Khamis, 23 Julai 2020 | 11:58am
Seorang wanita yang gambarnya menjamu selera di sebuah medan selera sambil memakai gelang pengesanan kuarantin COVID-19 tular di media sosial.
Seorang wanita yang gambarnya menjamu selera di sebuah medan selera sambil memakai gelang pengesanan kuarantin COVID-19 tular di media sosial.

Siasat wanita bergelang COVID-19 tular

IPOH: Jawatankuasa penyiasat ditubuhkan bagi menjalankan siasatan mengenai mesej bergambar yang tular berkenaan seorang wanita yang memakai gelang pengesanan kuarantin COVID-19 ketika makan di sebuah kafe, di Ipoh, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perak (JKNP), Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, jawatankuasa berkenaan turut dibantu polis bagi memastikan kelancaran siasatan yang dijalankan.

"Tujuan siasatan untuk menentukan berlakunya ketidakpatuhan individu dalam pemantauan (PUS) terbabit terhadap arahan kuarantin yang dikeluarkan oleh petugas kesihatan di mana-mana pintu masuk antarabangsa (PMA) negara, melalui Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah.

"Sekiranya individu itu disabit dengan kesalahan, tindakan perundangan yang sewajarnya akan diambil terhadapnya," katanya dalam kenyataan bertarikh semalam.

Menurut kenyataan itu, wanita berkenaan dipercayai tiba ke tanah air pada 4 Julai lalu berdasarkan tarikh tertera pada gelang tangan berwarna merah jambu dipakaikan kepadanya di suatu PMA negara.

"JKNP menerima maklumat berkaitan mesej bergambar tular terbabit berlaku di sebuah tempat tumpuan awam di Ipoh dan individu itu dikenal pasti oleh orang awam berdasarkan gelang yang dipakainya.

"Kementerian Kesihatan menghargai kerjasama orang ramai melaporkan kejadian sebegini bagi membendung penularan jangkitan COVID-19 dalam komuniti," katanya.

Terdahulu, laporan sebuah portal akhbar dengan merujuk kepada sumber yang tidak dinyatakan memaklumkan, wanita terbabit disahkan positif COVID-19 dan sedang menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, sejak 17 Julai lalu.

Menurut laporan berkenaan, sumber itu memaklumkan, gambar tular wanita berusia 72 tahun terbabit diambil pada 6 Julai lalu iaitu dua hari selepas arahan kuarantin di rumah selama 14 hari dikeluarkan kepadanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X