Sabtu, 25 Julai 2020 | 5:43pm
LELAKI Bangladesh dikenali Md Rayhan Kabir (tengah) yang diburu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ditahan agensi terbabit, petang semalam. - Foto Ihsan Imigresen
LELAKI Bangladesh dikenali Md Rayhan Kabir (tengah) yang diburu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ditahan agensi terbabit, petang semalam. - Foto Ihsan Imigresen

Md Rayhan direman 14 hari

SELAMA: Lelaki warga Bangladesh yang membuat pelbagai dakwaan terhadap pihak berkuasa Malaysia menerusi dokumentari terbitan Al Jazeera, Md Rayhan Kabir, direman selama 14 hari bagi membantu siasatan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata Md Rayhan ditahan Unit Risikan Operasi, Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Putrajaya, pada jam 5.45 petang semalam di Setapak sebelum diserahkan kepada pihak polis kira-kira jam 6.00 petang.

"Pihak berkuasa sudah menangkap lelaki itu, semalam, dan dia direman selama 14 hari bagi membantu siasatan, bermula hari ini.

"Kita akan memastikan siasatan dilakukan dengan sebaik mungkin dan kemudian mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Bersama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Larut, Matang dan Selama di Dewan Semai Bakti, FELDA Ijok, di sini, hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin (depan, tengah) bersama anggota RELA Larut, Matang dan Selama di Dewan Semai Bakti, FELDA Ijok, Perak, hari ini. NSTP/SHARUL HAFIZ ZAM
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin (depan, tengah) bersama anggota RELA Larut, Matang dan Selama di Dewan Semai Bakti, FELDA Ijok, Perak, hari ini. NSTP/SHARUL HAFIZ ZAM

Pada 7 Julai lalu, Jabatan Imigresen Malaysia memohon bantuan orang awam untuk menjejaki Md Rayhan bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Dalam laporan khas disiarkan Al Jazeera, lelaki itu membuat pelbagai dakwaan dan tohmahan berhubung layanan pihak berkuasa Malaysia kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, pihaknya memandang serius perkara itu kerana membabitkan imej dan maruah negara.

Beliau menegaskan, mana-mana warga asing yang tinggal dan bekerja di Malaysia perlu mematuhi undang-undang negara dengan memiliki dokumen sah.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X