Sabtu, 25 Julai 2020 | 10:58pm
SALURAN Youtube Sugu Pavithra yang mempunyai 786,000 pengikut kini tiada lagi sebarang kandungan video dihasilkan mereka.
SALURAN Youtube Sugu Pavithra yang mempunyai 786,000 pengikut kini tiada lagi sebarang kandungan video dihasilkan mereka.

Pasangan Youtuber, Sugu Pavithtra, padam semua video

IPOH: Pasangan Youtuber yang mencipta sensasi menerusi saluran mengenai masakan, Sugu Pavithra, bertindak memadam semua video dihasilkan mereka selama ini.

Sepanjang tempoh mengendalikan saluran itu, pasangan S Pavithra, 28 dan suaminya, M Sugu, 28, berkongsi 98 video yang meraih lebih 34 juta tontonan.

Kebanyakan video pasangan itu berkaitan demonstrasi masakan dilakukan oleh Pavithra membabitkan pelbagai menu masyarakat India dengan menggunakan Bahasa Melayu sebagai pengantar.

PASANGAN Youtuber yang mencipta sensasi menerusi saluran mengenai masakan, Sugu Pavithra
PASANGAN Youtuber yang mencipta sensasi menerusi saluran mengenai masakan, Sugu Pavithra

Pasangan itu dianggap Youtuber sensasi di negara ini, apabila dalam tempoh yang singkat mereka menarik sehingga 786,000 pengikut dari dalam dan luar negara.

Malah, usaha pasangan itu pernah mendapat perhatian Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menghantar hadiah kepada mereka.

Pasangan itu juga dijemput bertemu dan menghadiri majlis yang dirasmikan oleh Perdana Menteri di Kuala Lumpur.

Kali terakhir pasangan itu memuat naik video adalah pada minggu lalu memaparkan percutian keluarga kecil itu di Sunway City, Kuala Lumpur.

Semalam, selepas mendiamkan diri mengenai penahanan suaminya, Pavithra memberitahu media yang beliau memaafkan suaminya, Sugu, kerana mencederakannya.

Terdahulu, Sugu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan memiliki senjata bahaya di tempat awam serta mencederakan isterinya.

Bagaimanapun, Sugu mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua tuduhan itu, sebelum dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 oleh seorang penjamin.

Berita Harian X