Isnin, 27 Julai 2020 | 4:25pm
Tetamu jamuan Hari Raya Korban tidak melebihi 20 orang. - Foto NSTP/GHAZALI KORI
Tetamu jamuan Hari Raya Korban tidak melebihi 20 orang. - Foto NSTP/GHAZALI KORI

COVID-19: Jamuan tidak lebih 20 tetamu

KUALA LUMPUR: Jumlah tetamu yang dibenarkan berkunjung ke rumah bagi menghadiri jamuan sempena Aidiladha tidak melebihi 20 orang pada satu masa.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan turut menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) sambutan Aidiladha dengan mengehadkan jumlah haiwan dan orang yang hadir di tempat korban.

Katanya, individu yang masih dalam proses kuarantin rumah pula dilarang sama sekali untuk keluar dari rumah atau pulang ke kampung.

"Mereka juga dilarang menunaikan solat sunat Aidiladha, malah tidak boleh menerima tetamu di rumah mereka.

"Jika individu yang memakai gelang tangan kuarantin melanggar peraturan yang ditetapkan, orang ramai diminta untuk melaporkan kepada polis," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini, hari ini.

Bagi ibadah korban, Ismail Sabri memaklumkan, jumlah haiwan yang disembelih tidak boleh melebihi 10 ekor bagi masjid dan surau, termasuk di tempat korban yang dibenarkan pejabat agama daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Jumlah itu tertakluk kepada keluasan lokasi korban. Jika luas kawasan itu boleh memuatkan sehingga 10 ekor, maka boleh sampai 10 ekor. Jika enam ekor, maka enam saja.

"Selain itu, jumlah kehadiran sewaktu ibadah korban mengikut nisbah 20 orang untuk setiap haiwan.

"Jamuan makan di tapak korban tidak dibenarkan kecuali makanan dibungkus," katanya.

Selain itu, katanya, ibadah korban di masjid dan surau hanya boleh diadakan selama empat hari, termasuk hari pertama Aidiladha iaitu selepas solat sunat Aidiladha dan tiga hari Tasyrik.

"Bagaimanapun, mengambil kira sambutan Aidiladha yang jatuh pada Jumaat, ibadah korban digalakkan untuk dilakukan pada hari kedua, ketiga dan keempat," katanya.

Ismail Sabri berkata, walaupun ibadah korban dibenarkan dilakukan di masjid dan surau serta tempat yang dibenarkan, namun kerajaan menggalakkan supaya ibadah korban dilakukan di 28 rumah penyembelihan di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan 31 rumah penyembelihan ruminan swasta yang dilesenkan.

Katanya, semua SOP berkenaan terpakai di Wilayah Persekutuan dan boleh diguna pakai oleh Majlis Agama Negeri-Negeri sebagai rujukan.

"Bagi memantau penyembelihan, kenduri atau jamuan, pihak polis akan berada di lapangan, tempat penyembelihan dan sebagainya. Mereka akan memantau dengan ketat seperti yang dilaksanakan semasa Aidilfitri," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X