Selasa, 28 Julai 2020 | 7:42pm
Najib meninggalkan mahkamah selepas didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Najib meninggalkan mahkamah selepas didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Hukuman penjara 12 tahun Najib ditangguhkan hingga rayuan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atasnya sehingga rayuan didengar dan diputuskan.

Bagaimanapun, hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengenakan syarat bahawa jumlah jaminan sebelum ini ditambah lagi RM1 juta dengan dua penjamin dibayar esok.

Najib juga diarahkan melapor diri ke balai polis terdekat dua kali sebulan.

Mohd Nazlan dalam penghakimannya, berkata Najib berjaya menunjukkan keadaan istimewa bagi membolehkan mahkamah membenarkan permohonan penangguhan itu.

Terdahulu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam hujahannya, berkata jika mahkamah tidak membenarkan permohonan itu, ia akan menyebabkan prejudis kepada anak guamnya.

Ia adalah kerana Najib turut didakwa dengan tuduhan di mahkamah lain dan ia akan menyebabkan kesukaran untuk mendapatkan arahan daripada anak guam.

Katanya, hampir semua permohonan seumpamanya di mahkamah rendah dibenarkan.

"Anak guam saya turut dituduh di mahkamah lain, bagaimana saya akan mendapatkan arahan anak guam jika beliau dipenjarakan?

"Malah situasi pandemik COVID-19 ini lagi memburukkan keadaan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan membantah permohonan Najib supaya dibenarkan menangguhkan pelaksanaan hukuman.

Katanya, tertuduh mesti menunjukkan kepada mahkamah bahawa benar-benar terdapat keadaan istimewa.

Berita Harian X