Rabu, 29 Julai 2020 | 5:45pm

COVID-19: Jabatan Kesihatan Sabah sahkan satu kes positif murid sekolah rendah

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Sabah mengesahkan satu kes positif COVID-19 dikesan membabitkan seorang murid sekolah rendah di negeri ini, Isnin lalu.

Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi, berkata susulan itu, sampel daripada semua rakan sekelas dan ahli keluarga pesakit berkenaan sudah diambil.

"Semua kontak juga sudah diarahkan menjalani perintah kuarantin selama 14 hari.

"Kita menasihati semua ibu bapa supaya sentiasa memantau kesihatan anak masing-masing dan tidak menghantar mereka ke sekolah jika ada sebarang simptom COVID-19," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Terdahulu, tular mesej dalam media sosial mendakwa seorang murid sekolah di Inanam dikesan positif COVID-19.

Dalam pada itu, Dr Christina memaklumkan, pihaknya sudah menjalankan sebanyak 766 ujian COVID-19, sekali gus menjadikan jumlah kumulatifnya bagi seluruh Sabah mencecah 144,820, setakat kelmarin.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X