X
Rabu, 29 Julai 2020 | 11:50pm
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Baca penghakiman lebih dua jam

KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, mengambil masa lebih dua jam untuk membacakan penghakiman kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak.

Melalui penghakimannya, Mohd Nazlan mensabitkan Najib dengan semua tujuh tuduhan dan memerintahkan bekas Perdana Menteri itu dipenjarakan selama 12 tahun dan didenda berjumlah RM210 juta.

Berikut adalah antara petikan penghakiman Mohd Nazlan:

*Hujahan bahawa tertuduh tidak menubuhkan SRC

Dalam penilaian saya, walaupun perkara itu terdapat dalam Rancangan Malaysia Ke-10, dorongan bagi cadangan untuk benar-benar memulakan apa yang disertakan dalam rancangan berkenaan datangnya daripada seseorang yang berkaitan dengan 1MDB, bukan kerajaan.

Sangat jelas bahawa idea atau cadangan itu bukannya daripada beberapa agensi kerajaan atau kementerian. Hanya surat 1MDB ditujukan kepada Perdana Menteri.

Kerana itu, Timbalan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Kamariah Noruddin (kini bekas) dalam keterangannya berkata EPU menganggap permintaan daripada SRC International harus ditangani dengan serius. Yang mana ia berjaya dan EPU menyokong penubuhan SRC, seperti yang saya sebutkan.

Sebelumnya telah dibuktikan melalui keterangan bahawa tertuduh memiliki kepentingan peribadi dalam SRC, suatu penemuan yang belum disangkal oleh pihak pembelaan. Bagaimanapun, pembabitan tertuduh dalam penubuhan SRC hanyalah satu aspek daripada fakta kes jika dibandingkan dengan keseluruhan bukti dikemukakan terhadap tertuduh.

Walaupun tertuduh tidak bertanggungjawab secara tunggal dalam penubuhan SRC, perkara yang lebih penting ialah bahawa persetujuan penubuhan SRC oleh tertuduh memberikan titik tolak sebenar bagi pembabitan beliau dalam syarikat itu.

*Tindakan selepas pengeluaran pembiayaan daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP)

Tidak ada bukti menunjukkan tertuduh prihatin dengan penggunaan dana dipinjamkan kepada SRC oleh KWAP, baik dari segi fakta wang itu diperoleh dari dana pencen persaraan negara, yang juga sebahagian dana awam serta apakah usaha untuk mempromosikan inisiatif strategi tenaga nasional boleh dicapai dalam masa terdekat.

Kekurangan tindakan tertuduh untuk mendapatkan kembali dana yang dinyatakan dibekukan oleh Kerajaan Switzerland atas dakwaan pengubahan wang haram, sangat membingungkan dan ia lebih konsisten dengan tingkah laku seseorang yang tidak mahu masalah itu diselesaikan kerana pembabitan diri sendiri dalam hal menyalahi undang-undang iaitu pemindahan dana sejak dari awal lagi.

Ia adalah seperti dibuktikan dalam risalah pemegang saham Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) walaupun dakwaan tertuduh bahawa Minit Mesyuarat itu tidak asli.

Jelas pada akhir 2015 bahawa SRC menghadapi masalah kewangan. Tertuduh menyokong usaha pinjaman jangka pendek tetapi tidak memanggil pengarah SRC untuk memberikan penjelasan kepadanya walaupun beliau Penasihat Emeritus dan Perdana Menteri (ketika itu) yang mempunyai kuasa besar bawah Memorandum dan Artikel Persatuan syarikat, termasuk mencalonkan Ahli Lembaga Pengarah.

Tertuduh juga tidak bersetuju dengan pernyataan bahawa RM4 bilion itu sudah hilang, dengan menegaskan bahawa fakta itu belum dibuktikan.

Tertuduh sendiri tidak memberikan bukti untuk menunjukkan bahawa beliau mengambil langkah untuk memastikan apa sebenarnya yang berlaku kepada dana itu.

Selain itu, tertuduh tidak dapat memberikan jawapan jelas sama ada beliau berpuas hati dengan kemajuan SRC selepas pengeluaran dana pertama sebanyak RM2 bilion sebelum bersetuju untuk menyokong pinjaman kedua bernilai RM2 bilion.

Tertuduh mendakwa beliau memang bertanya dan diberitahu bahawa wang itu sudah disisihkan untuk keperluan pelaburan segera, tetapi tidak bertanya sama ada pinjaman itu tetap dalam bentuk tunai.

Menurut tertuduh, ia perlu diawasi oleh lembaga pengarah.

Selanjutnya, tertuduh juga tidak setuju bahawa ada kewajipan untuk mengemas kini status pembayaran pinjaman pertama yang dijamin oleh kerajaan ketika cadangan bagi jaminan kerajaan kedua dibentangkan di Kabinet.

Sekali lagi, saya sukar memahami apabila sumber pembiayaannya adalah dana pencen dan jumlah terbabit sangat besar dengan cara apa pun.

*Pembelaan tertuduh atas kepercayaannya yang jujur ​​terhadap wang sumbangan Arab

Semua jalan menuju ke Rome, dalam kes ini, mereka menuju ke Riyadh, atau begitulah nampaknya.

Banyak hujahan tertuduh berkaitan dengan inti pati pembelaan, iaitu kepercayaan dan pengetahuannya mengenai akaunnya dan operasi membabitkan sumbangan derma dari Arab Saudi.

Saya sebelum ini menyebut, hujahan bahawa tertuduh tidak mengetahui mengenai pengeluaran wang sebanyak RM42 juta itu bukan hanya bergantung pada dakwaannya tidak terbabit dalam pengurusan akaunnya sendiri dan ketiadaan pengetahuan mengenai baki, tetapi juga sangat penting bergantung pada kepercayaannya mengenai wang sumbangan Arab.

Ini kemudian menimbulkan pertanyaan apakah kepercayaan dan pengetahuannya yang mendakwa bahawa kiriman wang asing berasal daripada Raja Abdullah adalah asli atau dibuat-buat.

Pihak pembelaan menyatakan bahawa keadaan dan peristiwa yang ditunjukkan oleh bukti menyokong kesimpulan tertuduh yang memiliki kepercayaan yang munasabah bahawa dana dalam akaunnya pada 2014 dan 2015, yang juga tempoh penting bagi tuduhan pecah amanah dan tuduhan pengubahan wang haram, adalah lanjutan derma Arab Saudi yang diberitahu oleh Jho Low yang dikeluarkan, dan dicerminkan melalui surat sumbangan derma keempat.

Berita Harian X