Khamis, 30 Julai 2020 | 12:32am

COVID-19: Perjalanan antara Zon Satu dengan Zon Dua Sarawak wajib dapat permit polis

KUCHING: Kerajaan Sarawak menetapkan perjalanan antara Zon Satu yang merangkumi Kuching, Samarahan dan Serian, dengan Zon Dua (Sri Aman hingga ke Limbang) wajib mendapat permit polis, berkuat kuasa 1 Ogos ini.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin, berkata langkah itu susulan keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak untuk melaksanakan sekatan perjalanan.

Beliau berkata, ia adalah berikutan peningkatan jumlah kes baharu COVID-19 di Sarawak sejak kebelakangan ini.

"Keperluan ini (permit) terpakai untuk syarikat penerbangan, bot ekspres dan perkhidmatan bas antara bahagian yang beroperasi antara dua zon terbabit.

"Syarikat penerbangan dan pengusaha bot serta bas perlu memastikan hanya yang mereka ada permit polis dibenarkan menaiki pengangkutan berkenaan dan melakukan perjalanan antara kedua-dua zon," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, peraturan itu turut terpakai kepada mereka yang akan melakukan perjalanan pada atau selepas 1 Ogos ini sekalipun tiket dibeli lebih awal sebelum penguatkuasaan peraturan berkenaan.

"Agensi kerajaan berkaitan, termasuk Lembaga Sungai Sarawak, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis, telah diarahkan untuk memantau pematuhan terhadap arahan dikeluarkan JPBN Sarawak berhubung sekatan perjalanan yang bertujuan menjaga keselamatan orang ramai serta menyekat penularan COVID-19," katanya.

Kim Shin berkata, kekerapan penerbangan keluar-masuk Sarawak dan penerbangan destinasi dalam negeri bagi tempoh 1 hingga 14 Ogos juga telah dikurangkan sebagai antara langkah mengekang penularan wabak itu.

Berdasarkan maklumat tambahan yang dilampirkan bersama kenyataan itu, kekerapan penerbangan Malaysia Airlines (MAS) antara Kuala Lumpur dengan Sibu telah dikurangkan daripada tiga kali kepada sekali seminggu, sementara penerbangan Kuala Lumpur-Bintulu dikurangkan daripada tiga kali kepada dua kali seminggu.

Penerbangan mingguan AirAsia antara Kuala Lumpur dengan Kuching akan dikurangkan daripada 56 kepada 14 penerbangan; Kuching-Bintulu (daripada 21 kepada tujuh penerbangan); Kuching-Miri (daripada 21 kepada tujuh penerbangan); Kuching-Kota Kinabalu (daripada 14 kepada tujuh penerbangan); dan Kuching-Johor (daripada 14 kepada tujuh penerbangan).

Penerbangan AirAsia antara Sibu dan Kuala Lumpur pula dikurangkan daripada 21 kepada empat penerbangan; Sibu-Johor Bahru (daripada tujuh kepada empat penerbangan); Bintulu-Kuala Lumpur (daripada 14 kepada tujuh penerbangan); Miri-Kuala Lumpur (daripada 21 kepada tujuh penerbangan); Miri-Kota Kinabalu (daripada 10 kepada lima penerbangan); dan Miri-Johor Bahru (daripada tiga kepada dua penerbangan). – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X