X
Sabtu, 1 Ogos 2020 | 4:57pm

'Jejak makcik gelang pink sudah disanitasi'

IPOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah melaksanakan proses sanitasi di seluruh kawasan yang dipercayai dijejaki 'wanita bergelang merah jambu' yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Pengarah JBPM Perak, Azmi Osman, berkata pihaknya melaksanakan sanitasi di semua kawasan dinyatakan media dan individu berkaitan.

"Jangan bimbang, tindakan sudah dilakukan. Contohnya di kawasan Meru, fokus sanitasi ialah di kedai makan kawasan Mydin.

"Kita turut menggerakkan pasukan di lokasi dijejaki wanita berkenaan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis korban Persatuan Suri dan Anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (PERISMA) Perak bersama Nation of Women (NOW) Perak serta Kempen Keselamatan Kebakaran di Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya.

Beliau mengulas kebimbangan orang ramai susulan tindakan seorang wanita memakai gelang merah jambu menandakan pulang dari luar negara dan perlu menjalani kuarantin di rumah, dikesan makan di tempat awam.

Gambar tular seorang wanita memakai gelang merah jambu menandakan pulang dari luar negara dan perlu menjalani kuarantin di rumah, dikesan makan di tempat awam.
Gambar tular seorang wanita memakai gelang merah jambu menandakan pulang dari luar negara dan perlu menjalani kuarantin di rumah, dikesan makan di tempat awam.

Kejadian yang tular di media sosial itu menyebabkan premis di beberapa kawasan khususnya Meru lengang kerana orang ramai bimbang kemungkinan dijangkiti COVID-19.

Azmi berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat kawasan dikunjungi wanita itu diminta tampil memberi maklumat.

"Jika ada kawasan jejak lain yang diketahui masyarakat, bantu kami dengan memberi maklumat supaya dapat bertindak lebih cepat," katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, laporan siasatan sudah diserah kepada pejabat pendakwaan negeri dan pengarah pendakwaan mengarahkan siasatan diteruskan Jabatan Kesihatan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Pengarah JBPM Perak, Azmi Osman pada sidang media di Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya. - NSTP/Balqis Jazimah Zahari
    Pengarah JBPM Perak, Azmi Osman pada sidang media di Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya. - NSTP/Balqis Jazimah Zahari
    Berita Harian X