Sabtu, 1 Ogos 2020 | 6:27pm
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan. - Foto NSTP
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan. - Foto NSTP

'Jangan mimpi, runding dahulu'

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah sepatutnya berunding terlebih dahulu dengan UMNO mengenai kerusi yang akan ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum membuat pengumuman.

Menyifatkannya sebagai cara bersahabat, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, berkata kedua-dua parti perlu bijaksana dan ikhlas jika mahu melihat penyatuan dua parti terlaksana.

"Hari ini Ketua BERSATU Sabah (Datuk Seri Hajiji Noor) berkata partinya akan bertanding 45 kerusi daripada 73 DUN pada PRN kelak.

"Dua perkataan: jangan mimpi.

"Cadangan kepada BERSATU Sabah, kalau nak bersahabat dengan UMNO, buat cara bersahabat. Kita boleh berbincang. berunding. UMNO Sabah punyai autonomi menentukan hal calon dan kerusi yang ditandingi.

"Tetapi kalau sebelum berunding pun BERSATU sudah ghairah dengan hasrat bertanding 45 daripada 73 kerusi, itu bukan langkah berlandaskan kebijaksanaan atau keikhlasan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam senario politik mutakhir, Shahril berkata, parti itu perlu berfikir sebelum mengeluarkan kenyataan atau bertindak kerana setiap tindakan memberi kesan hingga ke akar umbi, bukan terhad ke Sabah.

Beliau berkata, UMNO mempunyai cita-cita berlandaskan kekuatan parti dalam menjayakan agenda rakyat Sabah, namun ia disulami kebijaksanaan dengan menghormati proses perundingan.

Katanya, UMNO yakin Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, dan pasukannya bijak mengurus landskap terbaru itu.

"Keutamaan adalah memperkasa agenda rakyat Sabah dan memperjuang maruah UMNO Sabah yang terus diangkat berasaskan kesetiaan pemimpin dan ahlinya," katanya.

Berita berkaitan:

  • 'Ketua Penerangan UMNO jangan celupar' - Armada BERSATU
  • Berita Harian X