Ahad, 2 Ogos 2020 | 5:22pm
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - Foto fail NSTP
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - Foto fail NSTP

Belia kunci masa depan negara - Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR: Kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu rakyat terutama belia dalam mendepani cabaran COVID-19.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata menerusi pakej rangsangan berjumlah RM295 bilion diumumkan kerajaan, belia meraih pelbagai manfaat termasuk Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

"Belia adalah kunci masa depan negara. Kerajaan menerusi menerusi pakej rangsangan yang diumumkan sebelum ini meletakkan belia sebagai golongan penting untuk menerima insentif.

"Ramai belia menerima bantuan BPN kerana ramai daripada golongan ini baru bekerja dan tempoh beberapa tahun lalu. Selain itu, kerajaan juga memperuntukkan RM270 juta untuk disalurkan kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

"Untuk menyokong perniagaan belia pula, kita ada Geran Khas Prihatin (GKP) yang menawarkan geran RM3,000, pinjaman mudah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bernilai RM6.3 bilion, Skim Kredit Mikro Bank Simpanan Nasional (BSN) bernilai RM500 juta dengan kadar faedah sifar, selain skim kredit mikro TEKUN Nasional yang berkadar faedah sifar.

"Dalam sektor pelancongan, kerajaan menyalurkan bantuan yang spesifik seperti Program Pengekalan Pekerja di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi 2020 dan lain-lain lagi," katanya ketika ditemubual dalam Wawancara Felo Perdana Bersama Menteri Kewangan yang disiarkan menerusi Bernama TV, hari ini.

Mengulas mengenai bantuan dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) kepada belia, Tengku Zafrul berkata, kerajaan memperkenalkan inisiatif komprehensif termasuk ePenjana yang bermula 31 Julai lalu.

"Rakyat Malaysia termasuk belia mendapat kredit RM50 dalam e-dompet dan padanan insentif tambahan bernilai RM50 berbentuk pulangan tunai, baucar atau mata ganjaran," katanya.

Beliau menegaskan, kerajaan tidak pernah mewujudkan aplikasi khusus untuk ePenjana, sebaliknya hanya menggunakan platform Telegram PENJANA untuk menyalurkan maklumat.

"Kita dapati ada aplikasi diwujudkan untuk memberi maklumat mengenai ePenjana. Tiada sebarang aplikasi untuk ePenjana. Apa yang perlu dilakukan adalah memuat turun aplikasi e-dompet khusus untuk ePenjana dan aplikasi MySejahtera.

"Jangan muat turun aplikasi tidak rasmi atau palsu. Jika ragu-ragu, rakyat boleh hubungi Kementerian Kewangan Malaysia (MoF)," katanya.

Berita Harian X