Selasa, 4 Ogos 2020 | 11:49pm
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR

ASEAN perlu bekerjasama tangani penularan COVID-19 - KP Kesihatan

KUALA LUMPUR: Negara anggota ASEAN, termasuk Malaysia, perlu bekerjasama menangani pandemik COVID-19 dan meminimumkan kesan sosioekonomi terhadap negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dalam catatan Facebook beliau, hari ini, berkata kesan penularan meluas yang merentasi sempadan negara, menjadikan kerjasama membanterasnya pada peringkat serantau perlu dibina melalui rundingan dengan wilayah serantau.

"Tiada jalan pintas untuk keluar daripada pandemik ini. Melihat kepada kadar pembangunan vaksin COVID-19 ketika ini, satu komuniti berdaya maju, yang mengambil sikap mengatur langkah memelihara kepentingan antara satu sama lain, amat kritikal untuk mengawal pandemik ini," katanya.

Beliau menjelaskan, negara anggota ASEAN perlu memiliki standard bersama dan mengelakkan duplikasi.

"Bersama kita berdiri teguh di rantau ini untuk menghadapi hari esok dalam keadaan lebih bersedia," katanya.

Dr Noor Hisham turut menggesa negara anggota ASEAN untuk menjadikan keadaan semasa sentiasa berada dalam kawalan - dari segi sains mendahului politik, perkembangan sains lebih rancak dari politik; di samping terus meningkatkan komunikasi strategik dan melahirkan masyarakat yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Terdahulu, Dr Noor Hisham berkata demikian pada sesi webinar bertajuk 'How Can ASEAN Bounce Back: Fostering Public Health Safety & Economic Resilience for a Borderless Community in ASEAN' anjuran Institut Penyelidikan ASEAN CIMB (Cari).

Perbincangan berkisar kepada pengurusan Malaysia mengenai pandemik itu, kerjasama dengan ASEAN serta komuniti antarabangsa dalam menangani COVID-19, dan cara mengimbangi antara kesihatan awam dengan survival ekonomi. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X