Rabu, 5 Ogos 2020 | 9:12pm
- Foto Twitter BERNAMA
- Foto Twitter BERNAMA

'Tag' masuk taman tema, bukan gelang COVID-19

IPOH: Gelang merah jambu dipakai seorang individu dikesan di sebuah kedai makan di sini, bukan untuk pesakit di bawah pengawasan (PUS) COVID-19, sebaliknya gelang pengenalan masuk ke sebuah taman tema.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, berkata, pengesahan itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan berkaitan penafian itu daripada peniaga restoran yang dikunjungi individu terbabit hari ini.

"Pengadu (peniaga) menerima gambar yang tular melalui WhatsApp mengatakan seorang pelanggan wanita memakai gelang merah jambu yang dikhaskan untuk individu dikuarantin berkaitan COVID-19, datang dan makan di restoran miliknya.

"Selepas meneliti kamera litar tertutup (CCTV) restoran didapati pelanggan berkenaan bukan memakai gelang merah jambu berkenaan, tetapi gelang 'tag' masuk ke sebuah taman tema di sini," katanya.

A Asmadi berkata, pengadu membuat laporan jam 5 petang hari ini untuk menafikan gambar yang tular itu dan meminta polis mengambil tindakan sewajarnya kerana perkara ini mengakibatkan imej restoran pengadu terjejas.

Terdahulu, Jabatan Kesihatan Negeri Perak memaklumkan pihaknya sedang mengenal pasti individu yang memakai gelang untuk PUS COVID-19 yang didakwa berlegar di sekitar sebuah kedai makan di sini.

Laporan polis juga dibuat dan siasatan lanjut mengenainya turut dijalankan JKN Perak.

Berita Harian X