Khamis, 13 Ogos 2020 | 6:38pm
Dr Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri berkata, beliau tidak boleh lagi menyandang jawatan Perdana Menteri apabila PH sudah tidak lagi menjadi kerajaan. - Foto NSTP
Dr Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri berkata, beliau tidak boleh lagi menyandang jawatan Perdana Menteri apabila PH sudah tidak lagi menjadi kerajaan. - Foto NSTP

'Saya tidak letak jawatan...'

KUALA LUMPUR: "Saya tidak letak jawatan. Ahli (Parlimen) daripada kerajaan mungkin tidak faham Perlembagaan kita.

"Apabila parti BERSATU keluar dari Pakatan Harapan (PH), maka PH pun jatuh tak jadi kerajaan lagi," kata Tun Dr Mahathir Mohamad (Bebas-Langkawi).

Dr Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri berkata, beliau tidak boleh lagi menyandang jawatan Perdana Menteri apabila PH sudah tidak lagi menjadi kerajaan.

"Jadi macam mana saya nak letak jawatan lagi, saya dah tak ada jawatan (ketika itu). Ini saya fikir payah nak difaham, diulang perkara ini berkali-kali macam tak boleh dengar ke tak tahulah.

"Tetapi sebenarnya tak ada peletakan jawatan. Saya cuma memberitahu kepada Yang di-Pertuan Agong keadaannya iaitu saya letak jawatan.

"Ini bukan bermakna saya buat keputusan sendiri nak letak jawatan. Apabila parti saya keluar dari PH, PH tak jadi kerajaan lagi dan semua ahli PH tentulah tergugur kerana tindakan itu," katanya ketika membuat celahan perbahasan Datuk Hasbulllah Osman (BN-Gerik) di Dewan Rakyat hari ini.

Hasbullah membahaskan usul Rang Undang-undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan 2020).

Sebelum itu, Hasbullah dalam perbahasan berkata, adalah tidak munasabah pihak pembangkang menuduh mereka menjatuhkan kerajaan kerana Perdana Menteri ketika itu (Dr Mahathir) yang meletak jawatan.

Berita Harian X