Khamis, 13 Ogos 2020 | 7:43pm
Pihak polis mengadakan sekatan jalan raya pada 4 Ogos lalu di Napoh. - NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Pihak polis mengadakan sekatan jalan raya pada 4 Ogos lalu di Napoh. - NSTP/Zuliaty Zulkiffli

Kedah cadang laksana TEMCO di Mukim Tawar mulai esok

ALOR SETAR: Kedah sedia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) di Mukim Tawar di Baling, berikutan kluster baharu COVID-19 yang dikesan di kawasan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, berkata bagaimanapun sebarang keputusan lanjut pelaksanaannya bergantung keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Perbincangan segera akan dilakukan bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah dan Pejabat Daerah Baling tentang perkara ini.

"Kerajaan negeri hanya boleh beri nasihat sekiranya TEMCO dilaksanakan dan kita harap ia dapat terus dilakukan bermula esok bagi mengelak penularan ke kawasan lain," katanya ketika dihubungi BH, malam ini.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan mengumumkan satu lagi kluster baharu COVID-19 dikesan di Kedah, yang sehingga kini sudah menjangkiti sembilan individu daripada satu keluarga.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham dipetik berkata, pandemik dikenali sebagai Kluster Tawar itu, kebanyakannya bertumpu di Mukim Tawar, Baling.

Dalam pada itu, Dr Mohd Hayati menggesa orang ramai yang pernah bertemu dengan individu terbabit dengan kluster berkenaan tampil segera membuat saringan COVID-19.

Beliau mengingatkan, pada mereka yang sudah dipakaikan gelang merah jambu untuk mematuhi arahan kuarantin di rumah masing-masing.

"Kita minta orang ramai amalkan prosedur operasi standard (SOP) digariskan kerajaan seperti biasa, elakkan berkumpul ramai-ramai dan kalau boleh elakkan makan di kedai makan, beli bungkus makan di rumah.

"Jemaah surau dan masjid juga diingatkan terus patuhi SOP, bawa sejadah masing-masing, elak bersalaman dan jaga jarak dengan jemaah yang lain," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X