Ahad, 16 Ogos 2020 | 12:26pm
Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali pada wawancara khas bersama Berita Harian di Kediaman Rasmi Ketua Menteri Melaka, Seri Bendahara, Ayer Keroh. - Foto Iqmal Haqim Rosman
Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali pada wawancara khas bersama Berita Harian di Kediaman Rasmi Ketua Menteri Melaka, Seri Bendahara, Ayer Keroh. - Foto Iqmal Haqim Rosman

'Ketepi perbezaan politik, utama keperluan rakyat'

Datuk Sulaiman Md Ali dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12 pada 9 Mac lalu ketika negeri itu bergelut dengan krisis bekalan air, disusuli pandemik COVID-19 dalam suasana suhu politik juga tidak menentu. Sulaiman menyifatkan ia tiga ujian paling hebat pada awal beliau mengambil alih jawatan utama di Seri Negeri.

Ketika ditemu bual wartawan BH Ahmad Naim Tahir dan Amir Mamat, Sulaiman juga menjelaskan mengenai cabaran lain dihadapinya termasuk dibandingkan dengan bekas Ketua Menteri, selain prinsip politik serta perancangannya untuk Melaka.

Soalan (S): Boleh kongsikan cerita menjelang pelantikan Datuk sebagai Ketua Menteri Melaka pada 9 Mac lalu?

Jawapan (J): Saya memang tak ambil pusing kerana yang pertama saya fikirkan, bagaimana kerajaan ini boleh kita tubuhkan dengan jumlah kerusi yang saya rasa tidak cukup. Siapakah dalam kalangan yang akan bersama kita dan pada masa sama juga, ada nama lain disebut-sebut akan diangkat sebagai Ketua Menteri.

Sebab itu, saya tak ambil pusing kerana bagi saya kalau jadi kerajaan, bagus dan Alhamdulillah. Anggapan saya mestilah Ketua Menteri dalam kalangan kita (Barisan Nasional) kerana kita majoriti (kerusi dalam DUN). Kita ada 13 ADUN, jadi mesti dalam kalangan 13 orang itu atau 12 orang tolak saya sebab saya fikir mesti orang yang diangkat itu senior daripada saya, mungkin ada pengalaman dalam pentadbiran seperti sudah jadi EXCO beberapa penggal. Saya kata siapa pun, saya setuju sehinggalah apabila kita dipanggil seorang demi seorang oleh Yang di-Pertua Negeri (ketika itu), Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.

Saya sebenarnya orang yang terakhir dan saya maklumkan kepada Tun, saya ikut sahaja kerana jauh lebih penting adalah kerajaan mesti ditubuhkan sebab sudah lewat, banyak perkara, terutama berkaitan pihak berkuasa tempatan yang memerlukan kelulusan (mesyuarat) EXCO, memerlukan mesyuarat pada peringkat ahli majlis. Saya menyokong penuh siapa sahaja dalam kalangan ADUN BN dilantik jadi Ketua Menteri. Saya maklumkan kepada Tun, saya adalah orang parti, saya setia kepada parti, saya berpegang teguh kepada kesetiaan dalam parti. Saya kata, Tun pilihlah dan akhirnya, saya menerima panggilan untuk menghadap Tun, dimaklumkan pilihan sudah dibuat dan Ketua Menteri Melaka ke-12 adalah saya.

S: Mungkin ada yang membandingkan Datuk dengan Ketua Menteri lain sebelum ini?

J: Apabila diangkat menjadi Ketua Menteri, pada saya ia bukan satu perkara yang mudah kerana negeri ini sudah dibina (dimajukan) lebih awal oleh pemimpin sebelum saya yang semuanya hebat. Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik memikirkan bagaimana Melaka dari negeri sleeping hollow ketika itu dibangunkan menjadi negeri pelancongan berasaskan nilai sejarah yang ada.

Pada masa sama, sektor industri dibawa masuk, Kawasan Perindustrian Ayer Keroh, Batu Berendam diwujudkan, begitu juga di Bukit Rambai yang menempatkan industri kayu. Diikuti Datuk Seri Mohd Zin Abdul Ghani, Tan Sri Abu Zahar Isnin dan Kemudian Tun Mohd Ali Rustam, semua mencetuskan banyak kemodenan. Tun Mohd Ali meneruskan pelaksanaan pelan induk yang dirangka, melakukan penambahbaikan, pengubahsuaian sepanjang tiga penggal beliau jadi Ketua Menteri.

Setiap inci pembangunan di Melaka, beliau tahu. Selepas itu, datang pula Datuk Seri Idris Haron menyambung usaha, memelihara dan menjaga apa yang ditinggalkan. Ketika diangkat sebagai Ketua Menteri, saya jammed (buntu) sekejap. Adakah saya mampu terajui negeri ditinggalkan orang (bekas Ketua Menteri) yang cukup hebat.

Tun Mohd Ali contohnya, setiap inci tanah, setiap inci pembangunan di Melaka ini beliau tahu. Kini, beliau jadi Yang di-Pertua Negeri pula. Saya harus berhadapan dengan seorang yang tahu segala rahsia pembangunan di Melaka. Saya memikirkan akan sentiasa dipantau oleh Tun Mohd Ali, apa yang akan saya laksanakan di Melaka.

Tentu beliau mengharapkan pentadbiran saya mesti lebih hebat daripada pentadbiran beliau dulu. Saya rasa cukup mencabar jadi Ketua Menteri ke-12 kerana ia tidak seperti Ketua Menteri sebelum ini. Pertama, kerajaan negeri sekarang atas gabungan ADUN dari parti yang berbeza dasar. Cabaran saya adalah bagaimana berbincang dengan wakil rakyat yang latar belakang ideologi politik berbeza.

S: Ketika pelantikan itu, Melaka sedang berdepan krisis air dan kemudian pandemik COVID-19?

J: Cabaran paling besar ketika saya ambil alih jawatan adalah krisis air, ketika itu sudah hampir sebulan bekalan air berjadual dilaksanakan. Itu cabaran cukup besar. Kedua, dalam tempoh beberapa hari jadi Ketua Menteri, Kerajaan Persekutuan isytihar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Saya memikirkan bagaimana nasib Melaka sebagai negeri pelancongan apabila kes COVID-19 mula meningkat.

Peringkat awal PKP amat membimbangkan, bagaimana saya nak pastikan jangkitan tidak meningkat, untuk memastikan rakyat Melaka patuhi semua SOP (prosedur operasi standard) atau arahan MKN (Majlis Keselamatan Negara), NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan lain-lain.

Dari segi ekonomi pula, sebagai negeri pelancongan, Melaka amat mengharapkan kehadiran pelancong. Selain itu, hasil kita adalah sektor pembuatan, industri. Waktu itu, ekonomi jatuh dan bagaimana saya boleh mengangkat semula ekonomi negeri. Saya fikir pasti akan ada yang hilang kerja, hilang sumber pendapatan. Ia ujian paling hebat dan pada masa sama, suhu politik juga tidak menentu. Itu tiga cabaran saya hadapi tetapi Alhamdulillah, berkat kerjasama semua dan izin Allah, saya dapat selesaikan krisis air pada 1 April.

S: Kerajaan Melaka dibarisi EXCO dari parti politik berbeza? Bagaimana Datuk mengurusnya?

J: Dalam tempoh menghadapi tiga ujian tadi, saya mendapat kerjasama baik EXCO. Saya beritahu mereka, kita sudah jadi kerajaan, kita kerja bagaimana nak angkat Melaka ke peringkat lebih tinggi walaupun kita mempunyai ideologi politik berbeza. Saya kata, kita mesti bergerak ke depan, bagaimana kita boleh bekerjasama.

Saya katakan, ketika ini rakyat sudah muak, benci, jijik dengan cerita politik sepanjang masa. Sekarang jangan cerita pasal politik, sampai masa (pilihan raya) untuk kita berlawan nanti, kita lawan, sampai masa kita bertanding, kita bertanding. Sekarang tanggungjawab kita untuk penuhi apa sahaja keperluan rakyat yang selama ini, mungkin 22 bulan waktu kerajaan ketika itu (Pakatan Harapan) gagal (penuhi).

Hari ini, jangan kita cerita banyak mengenai politik, politik kita letak tepi, kita fikir bagaimana masalah rakyat bawahan yang tak selesai, apa boleh kita buat. Kita kena tunjukkan kepada rakyat bahawa kita kena bekerjasama walaupun ideologi kita berbeza. Dalam membantu rakyat, penuhi keperluan asas rakyat, kita boleh bekerjasama. Kita boleh berbeza pendapat, tetapi kita juga boleh mencari titik persamaan. Ini sebenarnya tugas kita sebagai wakil rakyat, jangan berpolitik 24 jam, jangan berpolitik sepanjang masa, rakyat sudah jemu. Saya katakan, selagi saya Ketua Menteri yang dipersetujui bersama, ayuh kita kerja bersama, bergerak ke depan bagaimana kita boleh membantu rakyat.

S: Atas faktor itu, Datuk dilihat selalu juga bersama pemimpin pembangkang?

J: Kalau dalam dewan (DUN) dan luar dewan, kita asyik bermusuh, tak boleh nak duduk bersama berbincang mengenai hal rakyat, makan pun tak boleh nak duduk bersama, ia tak bagus. Saya jemput ketua pembangkang (bekas Ketua Menteri, Adly Zahari) untuk makan bersama saya. Saya lihat dalam dewan, kita duduk berasingan, tetapi di meja makan, saya jemput dia duduk bersama di meja Ketua Menteri.

Dalam kalangan rakan pembangkang pun, dipelawa duduk di tempat yang sama. Saya kata, YB (Yang Berhormat) pernah duduk di meja ini dulu, kenapa sekarang tak boleh duduk di sini, sekarang duduk makan bersama saya, kita boleh bincang. Kita nak bergaduh di dalam (DUN), tapi tidak di meja makan. Ada (ADUN pembangkang) tak nak duduk bersama, saya pergi tempat mereka duduk, bincang hal rakyat, jangan hal politik. Kita berpolitik apabila sampai masa Parlimen bubar nanti, anda boleh kritik saya, saya boleh kritik anda, anda boleh lawan saya, saya boleh lawan anda. Selagi kita jadi wakil rakyat, kita bantu rakyat, beri khidmat kepada rakyat.

Kalau ada masalah di kawasan, beritahu saya. Apa yang boleh saya bantu, saya bantu. Begitu juga dalam dewan, saya sendiri pergi ke tempat duduk ketua pembangkang, tanya dia apa boleh saya bantu? Apa yang tidak sempat dilaksanakan, saya akan laksanakan. Mana yang baik saya akan bawa, tambah baik. Dalam politik, pemimpin datang dan pergi, tetapi bukan dasar yang baik menjurus kepada rakyat. Kalau ia dasar yang baik, saya akan teruskan, tiada kepentingan parti, tiada kepentingan politik.

Kita kerja sahaja, kalau nak berpolitik tunggu pilihan raya, kalau nak berebut jadi kerajaan, nak tunjukkan kita betul-betul hebat adalah pada waktu itu. Selepas diangkat oleh rakyat, kenapa kita nak terus berpolitik sepanjang masa. Saya beritahu (ADUN pembangkang), anda boleh datang (pejabat), hubungi saya bila-bila masa sebab kita jadi wakil rakyat adalah untuk berkhidmat kepada rakyat. Saya tak kritik mereka sebab saya wakil rakyat, mereka pun wakil rakyat, jadi sama-sama kita buat kerja, cuma saya Ketua Menteri yang jaga seluruh Melaka.

S: Melaka sudah melancarkan slogan baharu. Boleh Datuk terangkan maksud slogan berkenaan?

J: Slogan baharu dilancarkan pada hari ke-115 saya sebagai Ketua Menteri. Slogan 'Melakaku Maju Jaya, Rakyat Bahagia, Menggamit Dunia' dipilih selepas saya melihat semua yang dibina oleh bekas Ketua Menteri. Slogan sebelum ini 'Melakaku Maju Jaya' dan memang Melaka sudah maju. Jadi, apa lagi saya nak letak? Bila saya perhatikan, slogan sebelum ini tidak sebut pun rakyat, tidak sentuh secara khusus peranan rakyat sedangkan sebab rakyatlah, kita (kerajaan) ada di sini. Sebab rakyatlah jadinya 'Melaka Maju Jaya', sebab rakyatlah segalanya bermula di Melaka, jadi maju. Saya tambah 'Rakyat Bahagia', jadi slogan 'Melakaku Maju Jaya, Rakyat Bahagia', tetapi (ayat) macam tergantung.

Untuk jadikan rakyat bahagia dan Melaka maju jaya, apa kita nak buat? Kita balik zaman kegemilangan Melaka dulu, suatu ketika dulu Melaka pusat perkembangan Islam antarabangsa, pusat perkembangan ekonomi dunia, ada pelabuhan. Melaka ketika itu sudah memanggil, mencuit, menggamit pedagang datang. Kenapa Melaka? Kenapa bukan Pulau Pinang, Tanjung Pelepas, Pelabuhan Klang atau Singapura? Maknanya, Melaka sejak awal dulu telah menggamit semua pedagang berdagang di pelabuhannya.

Saya nak menggamit balik (pedagang) ke negeri ini seperti lebih 600 tahun dulu. Kita mahu menggamit seluruh pelancong, pelabur datang Melaka, melihat kembali tamadun Melaka yang dibina oleh orang Melayu Islam dulu. Jadi, saya letak 'Menggamit Dunia', melengkapkan slogan 'Melakaku Maju Jaya, Rakyat Bahagia, Menggamit Dunia'. Ada pembangunan akan kita buat untuk menggamit dunia datang ke Melaka seperti dulu.

S: Apa antara pembangunan yang dirancang?

J: Sebagai negeri pelancongan, kita fikir apa lagi yang boleh meningkatkan sektor ini. Sektor pelancongan sebahagian daripada usaha kita untuk menggamit dunia, jadi perlu ada penambahbaikan. Bagaimana kawasan dan produk baharu boleh diwujudkan untuk menarik lebih ramai pelancong. Produk seperti river cruise mungkin menarik pelancong datang sekali sahaja, dia naik. Bukit St Paul, dia naik turun dan balik. Jadi, mesti ada produk baharu dan jangan hanya tertumpu di kawasan bandar Melaka, mesti ada juga di daerah lain.

Cuba lihat tempat lain yang banyak tingalan sejarah, di Masjid Tanah, Alor Gajah, mahupun Jasin. Contohnya di Masjid Tanah, ada Port Supai (Kota Bukit Supai di Kuala Linggi), ada Sungai Linggi yang dulu laluan pedagang terus ke Ramuan Cina. Itu sebab namanya Ramuan Cina kerana kapal masuk situ bawa barang dagangan dari China.

Di satu tempat, ada kilang rempah dan kilang arang yang difahamkan turut dieksport. Sepanjang Sungai Linggi, ada banyak kelip-kelip. Kita teroka potensi ini dan limpahan ekonominya nanti akan turut dinikmati rakyat di situ. Di Alor Gajah, banyak makam pahlawan lama belum diteroka, begitu juga di Jasin. Jika tidak ada pun produk, kita fikir bagaimana nak bangunkan kawasan untuk menarik pelancong.

Saya harap ejen pelancongan tidak hanya tumpu di bandar Melaka, kena kerjasama dengan pengusaha inap desa di tempat lain juga. Kita buat pakej, contohnya pelancong boleh naik kapal sampai ke Tanjung Kling, berhenti makan dan terus ke Port Supai, masuk muara Sungai Linggi dan bermalam di banyak inap desa di situ, boleh tengok kelip-kelip. Tahun lalu, kira-kira 18 juta pelancong datang ke Melaka dan pada saya ia cukup baik dan saban tahun meningkat, Alhamdulillah walaupun pintu negara kita belum dibuka disebabkan PKP dan negara lain contohnya Singapura belum benarkan rakyatnya keluar. Kalau dibuka, saya yakin pada Jumaat hingga Sabtu, Melaka akan sesak teruk dan kalau Singapura pun buka, sesak bertambah teruk.

S: Bagaimana pula dengan sektor perindustrian?

J: Saya lihat di PKNM (Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka), bank tanahnya sudah berkurangan. Saya kata kita cari lagi kawasan untuk bangunkan industri, contohnya di Masjid Tanah. Perlu dibina jajaran jalan baharu ke Masjid Tanah. Alor Gajah ada Lebuh AMJ (Alor Gajah-Melaka-Jasin) sampai ke Jasin, ada Lebuh SPA (Sungai Udang-Paya Rumput-Alor Gajah), tetapi Masjid Tanah tidak ada (jalan baharu). Bila jalan baharu dibina, ia akan menyingkatkan perjalanan dan membolehkan tanah di sekitar atau sepanjang laluan baharu itu dibangunkan.

S: Datuk juga merancang membuka sebuah pelabuhan bertaraf antarabangsa di Melaka. Apa sebabnya?

J: Saya lihat Melaka tiada apa-apa (sumber ekonomi) selain pelancongan. Pulau Pinang dan Singapura pun tiada apa-apa, tetapi kenapa boleh cepat membangun? Lebih 600 tahun lalu, Melaka sudah cukup terkenal, tetapi kenapa kita ketinggalan. Kenapa Pulau Pinang, Singapura boleh maju? Kerana mereka ada pelabuhan. Melaka sudah jadi pusat pelabuhan dan perdagangan antarabangsa lama dahulu, tetapi kini kita ketinggalan.

Jadi, saya lihat sudah sampai masanya kalau Melaka nak maju, nak ada limpahan manfaat daripada ekonomi, sektor maritim mesti kita perhebatkan. Dengan lautan kita atau Selat Melaka, saya rasa kita paling hebat sebab kedalaman (Selat Melaka) mengatasi kedalaman (perairan) Singapura dan Pulau Pinang, kapal besar boleh berlabuh.

Kita ada ALAM (Akademi Laut Malaysia) yang melahirkan pelayar, jurutera dan menawarkan kursus dalam perkapalan, mengeluarkan ramai pelajar, bukan hanya dari Melaka, tetapi seluruh negara datang menimba ilmu dan juga dari Indonesia, Australia, Filipina, Asia Barat pun belajar di ALAM. Saya pun produk ALAM. Asas kita sudah ada, tetapi kita tidak ada pelabuhan. Sudah tiba masanya kita ada pelabuhan kerana lokasi terbaik adalah Melaka. Kapal yang lalu di Selat Melaka, jumlahnya 120,000 setahun.

Bayangkan kalau kita ambil lima peratus sahaja singgah ambil air, isi minyak, berapa banyak ekonomi boleh kita jana, pasti rakyat akan bertambah bahagia. Ketika saya jadi Timbalan EXCO (Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan Melaka) pada 2014-2018 dulu, banyak pelabur datang Melaka dan tertarik, tetapi pada akhir perbincangan, mereka tanya mana pelabuhan anda? Jika kita ada pelabuhan, pelabur akan buka gudang, kilang di sini. Mereka perlukan pelabuhan atau lapangan terbang. Sebab itu, kita tidak boleh ketinggalan, sudah sampai masanya kita ada pelabuhan antarabangsa sendiri.

S: Apa lagi perancangan Datuk untuk Melaka?

J:Negara kita ada wilayah ekonomi di utara, Pantai Timur, Wilayah Iskandar di Johor, ada SCORE (Koridor Tenaga Diperbaharui) di Sarawak dan Lembah Wawasan Malaysia di Negeri Sembilan, tetapi Melaka tak dapat apa-apa. Saya fikir bagaimana mahu menarik pelancong dengan sektor industri baharu, dalam istilah untuk menggamit dunia datang ke Melaka sebagai destinasi pelaburan, destinasi pelancong. Saya mesti rancang koridor baharu. Walaupun Melaka 'selebar tapak tangan' (kecil) dan kebanyakan (tanah) sudah penuh, kita ada pantai sepanjang 70 kilometer.

Saya fikir bagaimana boleh buat produk pelancongan baharu untuk menggamit pelancong datang bermalam di Melaka, saya terfikir mengenai wilayah ekonomi atau koridor baharu. Saya sudah bincang dengan UPEN (Unit Perancangan Ekonomi Negeri) dan kebetulan baru-baru ini, Melaka dikunjungi Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. Saya sudah kemukakan idea mahu bina zon ekonomi baharu dipanggil 'Melaka Waterfront Economic Zone' atau M-WEZ kepada mereka.

S: Boleh Datuk ulas lebih lanjut projek M-WEZ?

J: Saya melihat kawasan seluas 15,000 ekar (6,000 hektar) untuk kita bangunkan menjadi wilayah atau koridor baharu. Kawasan ini saya nak jadikan kawasan bebas cukai dan kita akan bina satu pembangunan mapan di situ. Ada kluster akan kita bina, contohnya satu kawasan jadi hab pendidikan, satu kawasan taman maritim antarabangsa yang lebih kepada elemen taman tema dan sebagainya.

Beberapa komponen boleh dilaksanakan bagi menarik pelancong dengan mewujudkan produk baharu. Melaka dulu dikenali sebagai Venice of The East, saya kata sudah sampai masanya kita bina kerja penambakan melalui satu perancangan teratur. Kalau orang suka melancong di Venice sebab nak naik gondola, bersantai di waterfront, minum dan berjalan-jalan, membeli-belah di gedung berjenama. Itu pun boleh kita bina di sini. Saya minta buat terusan, jangan besar.

Orang boleh datang, naik gondola menelusuri terusan yang boleh dipanjangkan sampai 20 kilometer. Sepanjang terusan, kita boleh bina hotel dan sebagainya. Jadi, sepanjang lingkungan sungai nanti, kita akan lihat orang ramai berjalan, berehat sambil minum kopi, menelusuri terusan dengan gondola. Air terusan nanti akan berbeza dengan air (sungai) sekarang, ia mesti bersih, cantik dan ada sistem yang padu. Kalau ini dapat dilaksanakan, selain hab lain tadi, saya yakin apabila kawasan ini diwartakan sebagai kawasan bebas cukai, orang akan datang dan berada di Melaka lebih lama, akhirnya limpahan ekonomi dapat dinikmati rakyat, peluang kerja akan lebih banyak.

S: Apa perkembangan perancangan projek ini setakat ini?

J: Melaka ada jajaran pantai sepanjang 70 kilometer. Projek dirancang ini membabitkan kawasan 6,000 hektar sepanjang pantai sejauh 22 kilometer. Ini kita bangunkan sebagai koridor baharu untuk Melaka. Hari ini, orang datang Melaka, bermalam tetapi nak membeli-belah apa? Di Melaka, tiada outlet berjenama besar. Jika ia dibuka di Melaka, orang akan datang lebih ramai, boleh bermalam lebih lama dan boleh membeli-belah produk berjenama.

Perkara ini mesti dirancang sebaik mungkin, sebelum kita perhalusi dan perincikan melalui apa-apa kaedah atau sudut sekali pun untuk jadikan ia kenyataan.

Saya sudah kemukakan (idea) ini kepada Tok Pa (Mustapa), Azmin dan Tengku Zafrul. Mereka kata ia idea yang baik, tetapi kena bincang dan perhalusi. Saya akan bawa cadangan ini ke peringkat Persekutuan untuk mendapatkan kelulusan kerana Kerajaan Pusat juga akan membantu. Projek ini lebih kepada inisiatif swasta dan jika dapat dilaksanakan, akan ada banyak peluang kerja pada masa depan.

Berita Harian X