Ahad, 6 September 2020 | 12:01pm

Strategi dua dalam satu pastikan sungai terpulihara

ISU pencemaran Sungai Gong, Rawang yang menyebabkan lima juta pengguna terputus bekalan air, terus berulang hingga menimbulkan persoalan pencemar tidak gentar dengan undang-undang dan sejauh mana keseriusan pihak berkuasa menanganinya secara tuntas.

Ikuti temubual BH, Ahmad Suhael Adnan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Dr Zaini Ujang dan Pengerusi Pasukan Bertindak Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian Akademi Profesor Malaysia merangkap Felo Utama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Emeritus Datuk Ibrahim Komoo merungkai persoalan itu.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Dr Zaini Ujang (tengah) menunjukkan sampel air sungai yang diambil ketika membuat lawatan ke muka sauk yang ditutup berikutan pencemaran bau di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor I, Bestari Jaya, kelmarin. - NSTP/Mahzir Mat Isa
Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Dr Zaini Ujang (tengah) menunjukkan sampel air sungai yang diambil ketika membuat lawatan ke muka sauk yang ditutup berikutan pencemaran bau di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor I, Bestari Jaya, kelmarin. - NSTP/Mahzir Mat Isa

S: Apa komen Datuk Seri mengenai isu pencemaran berpunca daripada pembuangan sisa kilang yang berulang?

J: Pencemaran sungai hingga menyebabkan gangguan bekalan air dibekalkan empat loji utama Sungai Selangor kepada 1.2 juta akaun atau bersamaan lima juta pengguna air sekitar Lembah Klang adalah insiden berat kerana menjejaskan kepentingan awam.

Natijahnya, rakyat berhadapan gangguan perkhidmatan, manakala premis komersial pula ada terganggu operasi. Keadaan ini lebih buruk kerana membabitkan hujung minggu yang isi rumah biasanya berada di rumah dan menyelesaikan urusan rumah tangga seperti membasuh dan memasak.

Justeru, KASA mengambil tindakan segera secara bersepadu bersama-sama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) untuk mengenal pasti dan mengesan punca pencemaran sumber air itu.

Kita lakukan secara bersama kerana bidang kuasa sumber air terletak pada kerajaan negeri, manakala kawal selia kualiti alam sekitar di bawah JAS dan kawal selia industri perkhidmatan air pula di bawah SPAN.

Hasilnya, satu premis berjaya dikesan sebagai punca pencemaran dan sampel bahan bukti diperoleh. Sebagai tindakan serta-merta, premis disita dan digantung operasi selama dua minggu. Tindakan undang-undang selanjutnya boleh dikenakan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

Kerja remediasi tapak yang mengandungi bahan cemar dilaksanakan JAS, manakala Air Selangor melaksanakan langkah pemulihan bekalan air secara berperingkat.

S: Adakah proses rawatan sisa sedia ada terlalu sukar dan membebankan hingga kilang lebih rela membuang sisa industri ke sungai?

J: Sisa daripada kilang biasanya dikategori sisa berjadual dan perlu memenuhi peraturan kualiti alam untuk pelupusannya. Tidak dinafikan, ada kos dikenakan untuk melupuskannya di tempat dikhaskan seperti Kualiti Alam atau melalui cara khas diluluskan JAS.

Sepatutnya, kos ini sedia dimasukkan dalam kos operasi sesuatu perniagaan. Saya tidak fikir isu kos dan proses rawatan sisa sedia ada adalah penyumbang insiden ini. Ia lebih kepada isu integriti, kesedaran dan kecenderungan untuk mengambil jalan mudah dalam melupus atau membuang sisa industri.

S: Apa peranan kementerian dan JAS dalam aspek penguatkuasaan, yang dikatakan lemah dan antara punca pencemaran ini?

J: Dinamiknya isu pelepasan sisa ke sungai kerana membabitkan pelbagai pihak sama ada Kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan negeri. KASA melalui JAS melaksanakan penguatkuasaan melalui Akta 127, manakala SPAN mempunyai satu peruntukan, iaitu Seksyen 121 Akta 655 berhubung kesalahan pencemaran air.

Tidak dinafikan, kelemahan penguatkuasaan memang wujud sebelum ini, namun KASA mengatasinya dengan melaksanakan operasi secara bersepadu dan mengamalkan prinsip no wrong door policy apabila ada aduan diterima daripada rakyat. Aduan ini kita selaraskan tindakan secara bersama antara agensi berkaitan, termasuk membabitkan kerajaan negeri.

S: Apa aspek boleh dipertingkatkan bagi mengelak kejadian sama berulang?

J: Saya percaya beberapa aspek perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan kejadian sama berulang. Pertama, peranan Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu diperkukuhkan dari segi perkongsian maklumat dan penguatkuasaan.

Kedua, mewujudkan dasar perancangan pembangunan di lokasi di atas takat pengambilan air. Industri berisiko mencemar seperti industri menghasilkan kuantiti buangan besar dan industri kimia perlu dicegah daripada ditempatkan di kawasan berkenaan.

Ketiga, mempertingkatkan penguatkuasaan ke atas kilang haram. Keempat, penguatkuasaan melalui pemeriksaan fizikal di premis tertakluk di bawah Akta 127 akan dipergiat dan disokong dengan adaptasi penggunaan teknologi moden serta pendekatan pematuhan kendiri pihak industri melalui Orang Yang Berwibawa (OYB).

Kelima, program komunikasi, pendidikan, promosi dan kesedaran (CEPA) akan terus dipertingkat. Dalam melaksanakan sesuatu dasar, termasuk penjagaan alam sekitar, saya percaya ada tiga komponen perlu diberi perhatian.

Pertama ialah perundangan; kedua, pemimpin dan ketiga, pembabitan kumpulan sasar dalam perkara yang menjadi kepentingan ini. Isunya, tumpuan kita berikan kepada penguatkuasaan undang-undang dan kepemimpinan melebihi pembabitan kumpulan sasar dalam menjayakan sesuatu agenda. Sedangkan kita tahu ada orang tidak takutkan undang-undang, pemimpin silih berganti.

Sebagai menjawab persoalan tadi, saya melihat aspek pembabitan kumpulan sasar seperti industri dan orang ramai, perlu diberi perhatian sama besarnya dengan undang-undang.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Dr Zaini Ujang (tengah) melihat tempat disyaki punca pencemaran, berkenaan isu pencemaran bau di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor I, Bestari Jaya, kelmarin. - NSTP/Mahzir Mat Isa
Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Dr Zaini Ujang (tengah) melihat tempat disyaki punca pencemaran, berkenaan isu pencemaran bau di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor I, Bestari Jaya, kelmarin. - NSTP/Mahzir Mat Isa

S: Apa strategi boleh dirangka, seperti pertingkat usaha risikan, tambah penguat kuasa, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi tertentu sepanjang sungai atau khidmat 'mata-mata' penduduk berhampiran sungai?

J: KASA memang dalam usaha mempertingkatkan keupayaan penguatkuasaan melalui strategi penambahan modal insan, kelengkapan dan mempelbagaikan sumber risikan.

Namun, untuk jangka panjang kita sedang berusaha meningkatkan kesedaran orang ramai untuk bersama-sama membantu mengesan aktiviti pencemaran dan menghargai sungai sebagai teras penting kehidupan seharian.

Selain program Rakan Alam Sekitar, kita juga mulakan Program Denai Sungai Kebangsaan bagi mengaktifkan masyarakat bersama-sama kementerian untuk menjaga sungai dengan sasaran 10,000 kilometer denai sepanjang sungai.

Melalui aktiviti ini, kesedaran penjagaan sungai akan wujud. Dari aspek lain, aktiviti sepanjang sungai akan menimbulkan 'persepsi tertangkap' dalam kalangan pencemar berpotensi.

Strategi dua dalam satu ini bukan saja menjadikan sungai terpulihara, bahkan memastikan insiden pencemaran sungai dapat dielakkan. Saya ingin mengajak semua untuk membantu KASA dengan melaporkan sebarang aktiviti mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau e-mel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

S: Adakah undang-undang sedia ada sudah memadai untuk menangani pencemaran sungai atau perlu hukuman lebih tegas seperti penjara mandatori?

J: Pemantapan undang-undang sedia ada tetap menjadi keutamaan KASA. Oleh itu, Menteri KASA menzahirkan hasratnya sejak awal lagi untuk pindaan sewajarnya dibuat terhadap kedua-dua akta berkaitan.

Oleh itu, Akta 127 akan dipinda bagi mengenakan hukuman lebih berat kepada pencemar, termasuklah menimbang hukuman penjara, sebatan dan denda tinggi. Di bawah Akta 655, kita juga akan mencadangkan supaya pencemaran air sehingga menyebabkan gangguan operasi perkhidmatan air akan dijadikan sebagai suatu kesalahan.

Kita juga akan mengkaji supaya tindakan undang-undang diambil ke atas pengarah atau ahli lembaga pengarah (syarikat mencemar sungai) sebagai pengajaran kepentingan menjaga alam sekitar. Kerajaan di bawah Seksyen 47 Akta 127 juga mempunyai peruntukan membuat tuntutan kos bagi kerja pembersihan sungai atau alur sungai daripada pihak mencemarkan atau menyebabkan pencemaran dan akan menguatkuasakan perkara ini.

S: Adakah perlu ada undang-undang untuk memberi hak kepada pengguna terkesan dengan sesuatu pencemaran menuntut pampasan daripada pelaku?

J: KASA berpandangan keperluan ini boleh dikaji kesesuaiannya, khususnya bagi menjaga kepentingan pengguna. Namun, ia mesti adil dan menghukum pencemar dan bukannya mangsa pencemaran lain, contohnya operator air.

S: Kes pencemaran di Selangor ketika ini berpunca bengkel yang pernah melakukan kesalahan sama. Adakah perlu hukuman lebih tegas seperti mengharamkan operasi premis yang melakukan kesalahan berulang kali?

J: Pada hemat saya, kes pencemaran berulang perlu dijadikan asas untuk pelaksanaan hukuman lebih berat. Lebih penting, premis berisiko mendatangkan pencemaran tidak wajar diberikan kebenaran untuk beroperasi. Saya percaya perkara ini sedang dalam perhatian kerajaan negeri bagi mengelakkan insiden sama berulang pada masa hadapan. KASA akan sentiasa memberikan kerjasama dalam perkara ini.

S: Adakah tindakan sita dan arahan tutup 14 hari ke atas kilang atau sektor industri mencemarkan sungai masih relevan dengan perkembangan semasa sedangkan ia seperti gagal menjadi pengajaran?

J: Setiap tindakan undang-undang mempunyai tujuan tertentu. Tindakan sita dan arahan penutupan ialah langkah awal dan serta merta yang boleh dilaksanakan bagi membolehkan siasatan lanjut dilaksanakan dan mengumpulkan bahan bukti.

Proses ini akan disusuli tindakan undang-undang lanjut seperti pendakwaan di mahkamah. Seseorang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara selama lima tahun atau kedua-duanya sekali.

S: Kerajaan pernah mencadangkan mewajibkan semua bangunan, kilang atau perumahan baharu dibina menghadap sungai bagi memastikan sumber air bersih tanpa pencemaran, tetapi ia tidak dilaksanakan dengan berkesan?

J: KASA terbuka menimbang apa-apa strategi bagi memastikan jaminan sumber air bersih tanpa pencemaran dapat diwujudkan. Namun, ia tertakluk kepada bidang kuasa ditetapkan dan iltizam semua pihak untuk melaksanakannya.

S: Insiden pencemaran air ketika ini terletak di bawah Kerajaan Selangor. Bagaimana kerjasama antara Persekutuan dengan negeri dapat mengelakkan kejadian seumpama ini berulang?

J: KASA dan kerajaan negeri menjalinkan kerjasama erat dalam menangani insiden ini. Saya percaya kerjasama sedia ada akan terus diperkukuhkan melalui kebijaksanaan serta teladan kepimpinan Menteri Alam Sekitar dan Air serta Menteri Besar Selangor. Di peringkat pegawai, kita meneruskan penguatkuasaan dan pemantauan secara bersama bagi memastikan insiden seperti ini dapat dielakkan pada masa hadapan.

'Perincikan sistem kawalan kumbahan kilang, industri di pesisir sungai'

Datuk Ibrahim Komoo.
Datuk Ibrahim Komoo.

S: Apa pandangan Prof berhubung isu pencemaran air kerap berulang hingga menjejaskan jutaan pengguna terutama di kawasan padat penduduk seperti Lembah Klang?

J: Isu pencemaran air akan berterusan sekiranya tiada tindakan drastik dilaksanakan untuk mengatasi teknologi takungan, penyaluran dan pengambilan air untuk dibersihkan seperti diamalkan sekarang. Ini teknologi lama, iaitu takungan air di bahagian hulu sungai, kemudian disalurkan puluhan kilometer sepanjang sungai sebelum air diambil di loji pembersihan di hilir sungai.

Ketika teknologi ini mula dilaksanakan, tiada pembangunan sepanjang sungai sebelum sampai ke loji pembersihan. Kini, pembangunan pesat berlaku di sepanjang sungai, khususnya di kawasan perindustrian menyebabkan risiko pencemaran sangat tinggi.

Cara terbaik adalah dengan membuat paip menghubungkan terus dari takungan ke loji pembersihan. Kita tidak boleh hanya berserah kepada takdir atau andaian 'semua industri tidak akan mencemarkan sungai.'

S: Apakah langkah sedia ada Kerajaan Persekutuan atau negeri sudah mencukupi untuk mengatasi pencemaran sungai?

J: Pencemaran air berulang dan kelihatan semakin serius ketika ini, jelas menunjukkan usaha Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri hingga kini tidak berkesan. Tindakan membaiki dasar, mengetatkan undang-undang dan meningkatkan pendidikan awam jelas kurang berkesan.

Punca pencemaran sudah dikenal pasti tetapi bolehkah kerajaan menjamin pencemaran tidak akan berulang? Hakikatnya, negara perlu memberikan keutamaan tertinggi pada perkara ini demi kesejahteraan dan keselamatan awam.

S: Peraturan dan undang-undang sedia ada nampaknya dilihat masih gagal menghalang pencemaran sungai. Adakah kerana faktor penguatkuasaan lemah?

J: Bukan isu penguatkuasaan, tetapi isu 'kelestarian pembangunan industri.' Saya berharap kerajaan boleh memetakan secara terperinci 'sistem kawalan kumbahan' pihak kilang dan industri secara keseluruhannya yang berada di pesisir sungai.

Berdasarkan pemetaan itu, kita akan dapat mengetahui adakah sistem kawalan kumbahan digunakan industri ketika ini mengikut piawaian ditetapkan? Bagaimana dengan sistem penyelenggaraannya? Yang lebih rumit lagi ialah kehadiran 'kilang haram' atau yang beroperasi walaupun tidak memenuhi piawaian.

S: Kes pencemaran terbaharu di Selangor ketika ini didapati berpunca bengkel yang pernah didenda RM60,000 akibat kesalahan sama. Adakah perlu hukuman lebih tegas diperkenalkan, termasuk mengharamkan terus operasi premis yang didapati melakukan kesalahan berulang kali?

J: Kerajaan tidak boleh bertolak ansur kepada isu membabitkan keselamatan awam. Tindakan lebih tegas dan hukuman lebih berat perlu dikenakan.

Premis atau kilang yang didapati melakukan pencemaran perlu ditutup hingga ia berupaya membuktikan sistem kawalan kumbahan digunakan memenuhi piawaian. Jika dibenarkan beroperasi semula, pemantauan khas diperlukan.

Sungai Gong, Rawang. - Foto NSTP
Sungai Gong, Rawang. - Foto NSTP

S: Apakah kelemahan pada perundangan berkaitan alam sekitar memerlukan pindaan atau digubal semula?

J: Memang diakui banyak kelemahan dalam undang-undang sedia ada dan ia tidak mudah diatasi. Kebanyakan agensi mempunyai mandat bersifat sektoral tetapi isu alam sekitar lazimnya bersifat syumul.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) bukan agensi diberi kuasa untuk merancang dan meluluskan pembinaan kilang serta sistem operasinya tetapi jabatan ini dikehendaki untuk memastikan pencemaran terkawal.

Sudah sampai masanya, aspek pencemaran alam sekitar menjadi agenda penting dalam dasar, strategi dan kelulusan untuk pembangunan industri di kawasan sensitif alam sekitar.

S: Adakah wajar kerajaan negeri diberi kuasa penuh atau lebih untuk mengatasi isu pencemaran sungai?

J: Pada prinsipnya, kemudahan asas seperti bekalan air bersih ialah tanggungjawab kerajaan. Perkhidmatan sebegini tidak sesuai diswastakan.

Melihat isu semasa, kerajaan negeri dilihat kerap memikirkan keuntungan berbanding menyediakan perkhidmatan air yang baik. Inilah kos perkhidmatan kerajaan kepada warganya.

Saya bersetuju kerajaan negeri diberikan tanggungjawab lebih untuk mengurus perkhidmatan asas sebegini tetapi ia juga perlu dibekalkan dengan kepakaran, keupayaan teknikal dan sumber kewangan.

S: Apakah pindaan dan bentuk hukuman atau perundangan terbaik perlu dilaksanakan bagi mengatasi isu pencemaran sungai?

J: Strategi paling berkesan adalah 'menjadikan risiko pencemaran sifar.' Sistem bekalan air tidak boleh disekalikan dengan 'sistem sungai tabii'.

Risiko pencemaran sungai sangat tinggi dan akan lebih serius jika pembangunan pesat kurang terkawal. Jika terjadi pencemaran sungai, ia tidak seharusnya membabitkan pencemaran air minuman.

S: Mengapa kilang lebih rela memilih untuk membuang sisa buangan ke sungai? Adakah proses pembuangan sedia ada terlalu sukar dan membebankan mereka?

J: Isu ini rumit, banyak faktor perlu dipertimbangkan. Kilang dan bahan buangan atau kumbahan tidak dapat dielakkan. Bagaimana canggih sekalipun teknologi pembersihan digunakan, pencemaran tidak boleh dihapuskan 100 peratus.

Piawaian ketika ini hanya meminimumkan pencemaran ke tahap dan keadaan tidak memudaratkan. Kilang untuk perusahaan kecil sederhana (PKS), mempunyai margin keuntungan kecil.

Kos pembersihan canggih boleh menyebabkan perniagaan tidak menguntungkan. Asas kawalan pencemaran ialah 'perancangan lokasi kilang yang sesuai' dan sistem kawalan pencemaran berpusat. Pemantauan rapi perlu dilaksanakan kerajaan dan data pemantauan perlu digunakan untuk menambah baik sistem pemuliharaan alam sekitar.

S: Sebelum ini, ada cadangan kilang dan perumahan di tepi sungai diwajibkan dibina menghadap sungai, bukan membelakangkan sistem saliran itu. Apa pendapat Prof?

J: Ia tidak akan membaiki keadaan. Pencemaran akan terus ke sungai juga. Perancangan baik adalah tidak membenarkan sebarang pembangunan hingga ke gigi sungai. Zon penampan sungai perlu dikuatkuasakan tegas.

S: Adakah teknologi loji rawatan air (LRA) ketika ini perlu ditambah baik berikutan ia terpaksa dihenti tugas setiap kali berlaku pencemaran?

J: Sistem loji pembersihan air sekarang sudah bekerja keras untuk membersihkan air tercemar. Apa yang berlaku ini ialah pencemaran luar biasa, khususnya bahan kimia atau bahan bertoksik atau beracun yang tidak mampu dibersihkan sistem loji pembersihan air piawai.

Kita ialah negara tropika lembap dengan curahan air hujan banyak. Air tersimpan di takungan, sepanjang sungai dan sebahagian besar di dalam akuifer bawah tanah. Rakyat Malaysia berhak dibekalkan dengan air bersih daripada sumbernya, bukan air kotor dirawat.

Berita Harian X