Ahad, 6 September 2020 | 2:19pm
Halimah (tiga dari kiri) menyaksikan perasmian sesi maklum balas rakyat berhubung draf PTPN 2021-2025 peringkat negeri Kelantan dan Majlis menandatangani MoU antara KPN dan UMK, di Dewan Keusahawanan UMK, Pengkalan Chepa, di sini, hari ini. NSTP/ SYAHERAH MUSTAFA
Halimah (tiga dari kiri) menyaksikan perasmian sesi maklum balas rakyat berhubung draf PTPN 2021-2025 peringkat negeri Kelantan dan Majlis menandatangani MoU antara KPN dan UMK, di Dewan Keusahawanan UMK, Pengkalan Chepa, di sini, hari ini. NSTP/ SYAHERAH MUSTAFA

Aspirasi rakyat asas pembangunan PTPN 2021-2025

KOTA BHARU: Kementerian Perpaduan Negara akan mengambil kira kehendak dan aspirasi rakyat keseluruhan untuk dijadikan asas membangunkan Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PTPN) 2021-2025.

Menterinya Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata sejak diadakan sesi maklum balas rakyat di seluruh negara berhubung draf pelan berkenaan, seramai 20,000 orang sudah memberikan maklum balas masing-masing.

"Kita sudah melaksanakan sesi maklum balas ini di setiap negeri yang akan turun sehingga ke peringkat akar umbi dan kita memerlukan seramai mungkin untuk memberikan maklum balas ini.

"Kesemua maklum balas inilah yang akan dimasukkan dalam rangka pelan yang akan dilancarkan pada penghujung tahun ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Sesi Maklum Balas PTPN Peringkat Negeri Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini, hari ini.

Hadir sama merasmikan majlis, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, dan Naib Canselor UMK, Prof Datuk Ts Dr Noor Azizi Ismail.

Tambahnya, PTPN dirangka bagi mengharmonikan setiap bangsa dan agama walaupun perpaduan yang dikecapi hari ini sudah berada dalam keadaan baik.

Halimah berkata, selain UMK, KPN turut menjalin kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bagi melaksanakan kajian berilmiah yang dapat membantu kementerian merangka lebih banyak pendekatan termasuk dasar perpaduan negara.

"Melalui PTPN kementerian dapat mengumpul input tentang kefahaman rakyat mengenai cita-cita Rukun negara selain cadangan program yang boleh dilaksanakan bagi mencapai tujuan perpaduan.

"Saya juga berharap golongan ahli politik mengambil peluang mempromosikan perpaduan dalam setiap agenda mereka kerana ada segelintir pihak yang cuba memporak perandakan fikiran rakyat yang boleh memecahkan masyarakat," katanya.

Berita Harian X