Selasa, 15 September 2020 | 8:40pm
Jalan Pos Mosuh Tapah terhalang akibat tanah runtuh. - Foto ihsan Bomba.
Jalan Pos Mosuh Tapah terhalang akibat tanah runtuh. - Foto ihsan Bomba.

Jalan Pos Mosuh Tapah terhalang akibat tanah runtuh

TAPAH: Satu lagi kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di Jalan Pos Mosuh Tapah berdekatan Kampung Sungai Bot kira-kira jam 3 petang tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira jam 3.30 petang.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah dikejarkan ke tempat kejadian.

"Terdapat kesan runtuhan tanah setinggi kira-kira 25 meter yang menghalang kedua-dua arah jalan terbabit.

"Dengan bantuan JKR dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta anggota bomba, kerja-kerja pembersihan jalan dapat dijalankan dengan lancar," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kerja-kerja pembersihan jalan dan pemotongan dahan pokok selesai kira-kira jam 4.30 petang bagi membolehkan jalan itu digunakan penduduk .

Beliau berkata, runtuhan itu tidak membabitkan kemalangan jiwa.

Berita Harian X