Rabu, 16 September 2020 | 1:46pm
Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. - NSTP/Malai Rosmah Tuah
Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. - NSTP/Malai Rosmah Tuah

PRN Sabah: WARISAN yakin rakyat faham visi, misi dibawa

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (WARISAN) yakin rakyat memahami visi dan misi yang digariskan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16, 26 September ini,

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pihaknya komited untuk meneruskan segala apa yang dilaksanakan sebelum ini, dalam usaha membangunkan negeri menjadi lebih maju.

"WARISAN sudah mengumumkan manifesto tetapi ia lebih kepada visi dan misi untuk melaksanakan apa yang telah kami lakukan sebelum ini.

"Apa yang paling penting ialah untuk kita memastikan bagaimana kita dapat menarik pelabur datang bagi membantu membangunkan Sabah kerana banyak yang boleh ditawarkan jika berdasarkan sumber yang dimiliki negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Malaysia peringkat negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Hadir sama, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong dan Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Samsuni Mohd Nor.

Mohd Shafie yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, manifesto menjelang pilihan raya akan kekal dalam keadaan itu jika pengisiannya tidak dilaksanakan.

"Manifesto boleh nampak menjadi sangat bagus dan boleh sebut apa sahaja yang terkandung di dalamnya tetapi apa yang paling penting adalah pelaksanaannya.

"Gabungan Rakyat Sabah boleh membawa apa juga manifesto, tetapi ia cuma pemberitahuan mereka adalah sebuah gabungan untuk menarik minat rakyat Sabah.

"Ini berbeza dengan WARISAN yang sangat jelas dan terang-terangan dalam menonjolkan maksud serta keperluan sesama rakyat Sabah, jadi saya pasti rakyat lebih mengetahuinya," katanya.

Mengulas saranan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, semalam supaya beliau berdebat bersama Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berhubung calon Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie berkata fokusnya adalah untuk bertemu rakyat sepanjang kempen PRN.

"Sekarang saya mahu fokus dengan PRN. Mereka boleh berdebat tetapi saya tidak mahu membuang masa.

"Saya mahu berjumpa dengan seramai boleh pengundi di seluruh negeri kerana Sabah ini sangat luas," katanya.



Berita Harian X