Rabu, 16 September 2020 | 2:10pm
Laluan ke Kota Setar ditutup ketika PKPD Secara Pentadbiran masih berkuat kuasa. - Foto ihsan PDRM
Laluan ke Kota Setar ditutup ketika PKPD Secara Pentadbiran masih berkuat kuasa. - Foto ihsan PDRM

PKPD Secara Pentadbiran: 4 lagi laluan ditutup di Kota Setar

ALOR SETAR: Polis menutup empat lagi laluan di daerah ini bagi menghalang penduduk keluar masuk ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran dikuatkuasakan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Nor Azman Mohd Noor, berkata penutupan jalan bermula jam 9 pagi tadi, membabitkan persimpangan Jalan Tok Keling dari arah Pendang ke Alor Mengkudu dan Jalan Datuk Kumbar.

Beliau berkata, turut ditutup jalan sempadan Kota Setar ke Pendang iaitu dari Kilometer 7 Alor Setar ke Tanah Merah, Pendang dan lokasi persimpangan Jalan Tualang-Tobiar-Kubur Panjang di kawasan Titi Haji Idris.

"Satu lagi laluan adalah persimpangan lampu isyarat Titi Haji Idris dari arah Pendang ke Datuk Kumbar dan Alor Mengkudu turut ditutup.

"Ini menjadikan tujuh laluan di kawasan sempadan daerah Kota Setar ditutup dan sembilan sekatan jalan raya (SJR) dibuka ketika ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

SJR diadakan di Jalan Alor Setar-Pokok Sena, Jalan Simpang Empat, Jalan Batas Paip di Kuala Kedah, Tol Alor Setar Utara dan Tol Alor Setar Selatan, Jalan Alor Setar-Kepala Batas, Jalan Alor Janggus dan Jalan Hutan Kampung.

Selain itu, tiga laluan yang ditutup mulai semalam, adalah Jalan Gunung ke Sungai Korok, Simpang Gelong Air ke Gunung Keriang dan Simpang ke Kangar, Perlis.

PKPD Secara Pentadbiran bermula sejak 11 September lalu hingga 25 September membabitkan 366,787 isi rumah di 28 mukim daerah Kota Setar berikutan penularan COVID-19.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X