Rabu, 16 September 2020 | 2:11pm

'Asalkan WARISAN kalah' - Bung Moktar

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) menyifatkan pertembungan calon parti itu dengan wakil rakan komponen di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ini, bukanlah gambaran tiada kesepakatan di antara mereka.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata tiada sebarang isu berkaitan kesepakatan membabitkan BN serta parti komponen, namun berlaku sedikit pertembungan di calon antara BN dan gabungannya.

"Bagaimanapun, hal ini tidak menunjukkan tiada langsung kesepakatan antara kami.

"Mungkin disebabkan masing-masing parti menganggap mempunyai kekuatan serta calon-calon terbaik di kawasan yang ditandingi, ia seperti menggambarkan kita tidak sehaluan.

"Oleh itu, saya ketika berucap sebentar tadi menyatakan kesungguhan parti dan calon itu melihat mereka boleh menang, maka berlakulah pertembungan secara persahabatan.

"Parti apapun yang menang, asal bukan Parti Warisan Sabah (WARISAN) tetap bermakna dan membawa kelebihan kepada semua parti komponen kita," katanya ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Sarapan Pagi Bersama Pemimpin, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bung Moktar berkata demikian ketika mengulas kemungkinan lawan menjadikan isu tiada kesepakatan di antara BN dan parti komponen sebagai senjata dalam kempen yang sedang berlangsung.

Sementara itu, Bung Moktar dalam ucapannya, memuji kepimpinan PAS dan jentera parti itu yang sanggup turun padang membantu proses kempen sepanjang pilihan raya ini.

Katanya, PAS sebelum ini turut meminta peluang untuk bertanding dalam PRN tetapi mereka menerima segala keputusan secara berlapang dada apabila nama calon diumumkan.

"Jentera PAS tanpa ada banyak persoalan terus bergerak ke bawah membantu calon-calon kita.

"Hal ini adalah contoh terbaik dan bukannya masih merajuk tidak keluar bantu berkempen disebabkan tiada nama ketika pencalonan," katanya.



Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin
Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin
Berita Harian X