Rabu, 16 September 2020 | 3:17pm

PRN Sabah: Aku Janji GRS demi kepentingan rakyat Sabah

KOTA KINABALU: Perdana Menteri menyifatkan Aku Janji ditawarkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai satu komitmen total atau menyeluruh untuk kepentingan rakyat Sabah.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, komitmen itu sejajar usaha ke arah mengangkat darjat rakyat Sabah ke tahap yang lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Katanya, Aku Janji itu juga adalah komitmen luar biasa yang mengambil kira kesan COVID-19 lebih-lebih lagi di Sabah yang sangat terjejas dengan pandemik itu.

"Perkara di dalam ada urusan Kerajaan Persekutuan, sebahagian yang lain membabitkan urusan kerajaan negeri. Ia agak utama dan penting untuk kita tawarkan satu tawaran baharu yang jauh lebih baik berbanding Parti Warisan Sabah (WARISAN).

"Ini sesuatu yang perlu kita lakukan kerana Sabah ada rakyat ramai yang perlukan pembangunan dan pembelaan dengan sokongan kerajaan negeri dan pusat.

"Maka disebabkan itu kita lancar Aku Janji ini yang bagi saya satu komitmen yang total daripada GRS untuk mengangkat darjat rakyat Sabah ke tahap yang tinggi," katanya pada pelancaran Aku Janji atau Manifesto GRS, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi BN Sabah, Datuk Bung Moktar Radin; Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Hajiji Noor; Timbalan Presiden PBS, Datuk Radin Maleh; Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

GRS ialah gabungan merujuk kerjasama Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Aku Janji gabungan itu menumpukan aspek ekonomi, infrastruktur, perkhidmatan awam, kesihatan dan kesejahteraan rakyat, pendidikan dan sumber manusia, keselamatan serta pembangunan belia dan wanita.

Muhyiddin berkata, Aku Janji itu turut mengambil kira situasi semasa berkaitan kesan COVID-19, khususnya di Sabah yang dilihat sangat terkesan dengan pandemik itu.

"Dalam keadaan sukar sekarang COVID-19 melanda, kesannya sangat besar dan membawa musibah berat dan Malaysia juga tidak terkecuali, termasuk Sabah.

"Ada rakyat jatuh miskin dan bertambah miskin. Maka sebab itu komitmen kita hari ini bukan komitmen biasa. Ini komitmen luar biasa memandangkan situasi agak sukar yang tak pernah dihadapi Sabah," katanya.

Katanya, Sabah antara yang teruk terjejas akibat pandemik itu dan ia memerlukan komitmen kerajaan negeri dan Pusat untuk memastikan kesan berkenaan dapat ditangani dengan sebaik mungkin.

"Kerjasama di antara negeri dan Pusat tidak boleh dielak dalam hal seperti ini. Kalau Pusat sudah ada PN, di sini juga patut begitu, mesti ada PN atau GRS supaya masalah besar di negeri ini dapat dibantu dan rakyat tidak terjerumus lebih dahsyat lagi," katanya.

Sehubungan itu, katanya rakyat Sabah perlu memilih PN, BN dan PBS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini untuk melaksanakan Aku Janjinya.

Muhyiddin turut menyentuh mengenai komitmen PN terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan akan membuat pengumuman penting mengenainya pada sambutan Hari Malaysia di Sibu, Sarawak malam ini.

Sementara itu, katanya beliau akan berbincang dengan Menteri Kewangan untuk meneruskan bantuan kepada rakyat khususnya di Sabah yang terjejas dengan COVID-19 berikutan masih ada tidak menerima bantuan kerajaan negeri.



Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran Aku Janji Gabungan Rakyat Sabah sempena Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 di Kota Kinabalu, hari ini. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran Aku Janji Gabungan Rakyat Sabah sempena Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 di Kota Kinabalu, hari ini. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Berita Harian X