Rabu, 16 September 2020 | 3:29pm
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Hajiji Noor. - BERNAMA
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Hajiji Noor. - BERNAMA

Aku Janji GRS bakal pacu pembangunan Sabah lebih menyeluruh

KOTA KINABALU: Aku Janji Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah usaha untuk membawa Sabah ke era dan harapan baharu selepas Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) berjaya mengambil alih tampuk kerajaan negeri.

Pengerusi PN Sabah, Datuk Hajiji Noor, berkata Sabah mampu memacu pembangunan lebih menyeluruh sekiranya mempunyai hubungan baik dan sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah terbukti berjaya melakukan yang terbaik kepada negara dan Sabah walaupun baru mengambil alih pentadbiran.

"Saya yakin jika berpaksikan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia (MA63), Aku Janji ini akan menjadi satu keistimewaan bagi rakyat Sabah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

"Di peringkat Persekutuan, kita ada Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, jadi Aku Janji ini adalah tawaran lebih baik untuk memulihkan ekonomi yang dihancurkan pentadbiran Parti Warisan Sabah (WARISAN)," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Aku Janji GRS yang dilancarkan Muhyiddin yang juga Pengerusi PN, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Radin Malleh dan Setiausaha Agung PN, BN dan PBS.

Aku Janji mempunyai sembilan teras itu merangkumi infrastruktur, ekonomi, peluang pekerjaan, perkhidmatan awam, kesihatan dan kesejahteraan rakyat, pendidikan modal insan, keselamatan, belia dan pembangunan wanita.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, menerusi Aku Janji ini, rakyat diyakini akan memberi sokongan padu dalam PRN akan datang.

Katanya, fokus utama adalah untuk memulihkan ekonomi Sabah susulan kesan COVID-19.

Aku Janji ini adalah usaha berterusan PN, BN dan PBS dalam memberikan kemudahan kepada rakyat Sabah yang akan dilaksanakan selama gabungan itu diberi mandat.

"Kerajaan Pusat beri autonomi untuk Sabah tentukan hala tuju asalkan selari dengan mereka (Kerajaan Pusat)," katanya.

Berita Harian X