Khamis, 20 Julai 2017 | 2:01pm
ABDUL Razak (kanan) ceria meraikan kejayaan kumpulannya merangkul Anugerah Emas Kategori Folklore Dance pada International Folklore Festival 2015 di Rimini, Itali. - Foto Ihsan Pembaca

Abdul Razak kaya pengalaman antarabangsa

KUALA LUMPUR: Minat mendalam terhadap bidang seni, khususnya tarian, melorongkan Abdul Razak Abdul Hamid ke arah profesion keguruan demi mencurah ilmu membangunkan bakat muda, namun tanpa dijangka turut menjadi platform meraih pengalaman berharga di luar negara.

Guru subjek Muzik serta Pendidikan Jasmani dan Kesihatan di Sekolah Kebangsaan (SK) (P) Methodist 1, Brickfields di sini itu sudah memberi tunjuk ajar asas tarian kepada lebih 200 murid sekolah itu sepanjang lapan tahun berkhidmat sebagai pendidik dan jurulatih seni budaya.

Hasil sokongan padu Guru Besar sekolah berkenaan, Susie Khor Siew Lee, beliau juga berjaya membawa delegasi murid menyertai pelbagai festival seni dan kebudayaan di luar negara.

Antaranya, Program Antara Budaya Malaysia-Indonesia 2013 dan 2017; Festival Kebudayaan Tanjungbalai & Toba 2013; Festival Kanak-kanak Antarabangsa Ke-23, Kocaeli, Turki; dan International Folklore Festival PARALIA 2016 di Greece.


ABDUL Razak (kanan) bersama-sama pelajar Korea Selatan ketika mengikuti program KOMTEP 2015. - Foto Ihsan Pembaca

Pencapaian tertinggi

Abdul Razak berkata, satu daripada pencapaian tertinggi pernah diperoleh anak buahnya ialah merangkul Anugerah Emas Kategori Folklore Dance pada International Folklore Festival 2015 di Rimini, Itali.

"Bukan mudah untuk melatih murid yang tiada latar belakang tarian tetapi saya percaya bahawa minat mendalam mampu menjadi pembakar semangat mereka terus mengikuti sesi latihan diadakan.

"Bidang ini mencungkil dan mengasah bakat muda, malah pada masa sama membantu membentuk jati diri mereka untuk tampil lebih berkeyakinan, berketerampilan dan berdisiplin.

"Saya bangga kerana ada murid yang meneruskan minat dalam pengkhususan bidang tarian apabila terpilih menyambung pelajaran di Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur," katanya.


ABDUL Razak (depan, kanan) berpengalaman luas membimbing ramai murid dalam bidang tarian. - Foto Ihsan Pembaca

Titik tolak

Anak jati Pantai Dalam di sini itu adalah graduan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh, Perak, selepas memasuki program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) dengan memilih opsyen Muzik pada 2009.

Terdahulu, beliau menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Teater dan Perfileman (dengan Kepujian) dari Fakulti Seni Persembahan (kini Fakulti Filem, Teater & Animasi), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam pada 2007.

Selepas itu, beliau mengikuti kursus Jurulatih Seni Budaya Negara (JSBN) bawah Program Bimbingan Seni Budaya (PBSB), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

"Kelayakan diperoleh sebagai jurulatih itu membolehkan saya membuat kerja freelance melatih bakat baharu di sekolah cadangan JKKN. Bertitik tolak dari situ, keputusan diambil untuk menjadi pendidik kerana mahu lebih dekat dengan murid yang mendapat tunjuk ajar daripada saya," katanya.


ABDUL Razak (depan, dua dari kiri) terpilih menyertai program SSEAYP mewakili Malaysia di Tokyo, Jepun, pada 2011.

Program pertukaran

Seperkara juga membanggakan, kecemerlangan dan karisma dimiliki Abdul Razak menyaksikan dirinya berpeluang menyertai pelbagai program pertukaran di luar negara.

Beliau antara lain terpilih menyertai The Ship For Southeast Asian Youth Program (SSEAYP) mewakili Malaysia di Tokyo, Jepun, pada 2011, Program Pertukaran Guru Korea-Malaysia (KOMTEP) 2015 di Korea Selatan, dan Lawatan Penandaarasan Penganjuran Program Antarabangsa (Festival Kesenian Kanak-kanak) melalui program Jelajah Seni Budaya (Turki - London - Paris).

"Tahun lalu, SK (P) Methodist 1 menjadi tuan rumah KOMTEP pula dan menerima dua guru dari Korea Selatan untuk mengajar di sekolah kami," katanya yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2016 serta Anugerah Ikon Guru Kebudayaan 2017 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

PROFIL

Abdul Razak Abdul Hamid

Umur: 35 tahun

Tarikh lahir: 16 Januari 1982

Tempat lahir: Kuala Lumpur

Kedudukan dalam keluarga: Anak kelapan daripada 10 adik-beradik

Kelulusan:

* Ijazah Sarjana Muda Teater dan Perfileman (dengan Kepujian), UiTM Shah Alam

* DPLI, IPG Kampus Ipoh

* JSBN bawah PBSB, JKKN

Antara pencapaian:

* Anugerah Guru Cemerlang Kokurikulum 2013 (Sekolah Rendah) peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

* Anugerah Guru Cemerlang Kokurikulum 2014 (Sekolah Rendah) peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

* Anugerah Guru Cemerlang Kokurikulum 2016 (Sekolah Rendah) peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

* Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2016 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

* Anugerah Ikon Guru Kebudayaan 2017 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Berita Harian X