Khamis, 20 Julai 2017 | 4:35pm
PROF Dr Mohammad Tariqul Islam (kiri) bersama Prof Dr Norbahiah Misran (tengah) dan Dr Mohd Fais Mansor menunjukkan antena rekaan mereka di Universiti Kebangsaan Malaysia. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Penyelidik UKM hasil antena penampal satelit terkecil

BANGI: Penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya membina reka bentuk antena penampal UHF/VHF pertama di dunia untuk satelit nano, CubeSat.

Ketua Penyelidiknya, Prof Dr Mohammad Tariqul Islam, berkata kebiasaannya satelit menggunakan antena ekakutub tujahan keluar, namun kebarangkalian kegagalan mekanikal untuk ia berfungsi adalah tinggi.

Beliau yang juga pensyarah Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina (FKAB) UKM berkata, antena penampal tidak berdepan masalah sedemikian kerana ia nipis dan melekat pada satelit.

"Komunikasi antara CubeSat dan bumi amat bergantung kepada sistem antena, justeru antena bersaiz kompak, ringan dan stabil diperlukan untuk kelancaran misi satelit nano ini.

"Jadi, antena rekaan kami ini amat sesuai untuk satelit paling kecil dengan ukuran 10 sentimeter (cm) x 10cm x 10cm," katanya pada sidang media di UKM di sini, hari ini.

Yang turut hadir Dekan FKAB, Prof Datuk Ir Dr Abdul Wahab Mohammad.

Projek yang turut dijayakan Prof Dr Norbahiah Misran dan Dr Mohd Fais Mansor itu mendapat kerjasama Kyushu Institute of Technology, Jepun, yang turut memberi geran penyelidikan RM200,000 kepada kumpulan itu.

Prof Norbahiah berkata, kumpulannya itu membuat lebih 50 rekaan antena sebelum menghasilkan rekaan yang digunakan CubeSat.

Katanya, penyelidikan itu mengambil masa setahun setengah untuk disiapkan dan dipasang pada satelit nano berkenaan.

"Terdapat dua antena penampal pada satelit ini iaitu masing-masing untuk UHF dan VHF untuk komunikasi dan ia amat penting kerana fungsi CubeSat antaranya ialah merakam gambar.

"Ini adalah rekaan antena terkecil di dunia yang diperbuat daripada tembaga menggunakan teknik gulungan beroperasi pada frekuensi UHF/VHF," katanya.

INFO

- CubeSat berjaya dilancarkan mengikut jadual menggunakan tangan robotik Jaxa KIBO untuk model eksperimen Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) pada 7 Julai 2017.

- Dari bumi ia dibawa menggunakan Space X, Roket Falcon 9 oleh misi CRS-11 dari Pusat Angkasa Lepas Kennedy, Amerika Syarikat pada awal Jun 2017.

Berita Harian X