Selasa, 25 Julai 2017 | 3:24pm
NAIB Canselor Universiti Malaysia Terengganu, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Sharif Haron (dua kanan) sambil diperhatikan Dekan Pusat Pengajian Sains Asas UMT, Prof. Dr. Hamdan Suhaimi (kiri) dan Timbalan Pengarah MARDI Negeri, Amiran Ngah (kanan) pada majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Antara UMT dan MARDI Sempena International Cell Signalling Conference (ICSS) 2017 di Dewan Gamelan, Primula Beach Resort. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

UMT, MARDI teroka kajian pengisyaratan sel

KUALA TERENGGANU: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjalankan kerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) untuk menghimpunkan saintis, penyelidik dan ahli akademik bagi menjalankan kajian mengenai pengisyaratan sel.

Naib Canselor UMT, Datuk Dr Aieni Mokhtar, berkata pengisyaratan sel adalah sistem komunikasi membabitkan pengaturan seluruh aktiviti di dalam dan di luar sel sebagai tindak balas sesuatu isyarat kimia.

Katanya, melalui perjanjian kerjasama itu, MARDI akan menghantar pegawainya untuk melakukan penyelidikan pengisyaratan sel yang menjadi tunjang kepada ilmu bersifat aplikasi perubatan, persekitaran dan keselamatan makanan.

"Kajian lain akan dilakukan ialah pengisyaratan sel dalam aplikasi berkaitan sains hayat produk semula jadi, pengawal aturan hormon tumbuhan; biopenanda; modifikasi genetik organisma; biokimia; toksikologi dan farmaseutikal," katanya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan MARDI di sini, hari ini.

Pada majlis itu, UMT diwakili Dr Aieni dan MARDI diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Sharif Harun.

Dr Aieni berkata, bidang itu kini menjadi trend dan berkembang luas dengan pantas, merangkumi pengisyaratan sel di dalam manusia, haiwan dan tumbuhan, termasuk digunakan untuk rawatan berjangkit dan kronik.

"Pembabitan ilmu kimia dan fizik dalam pengisyaratan sel turut memberi nafas baharu kepada bidang ilmu untuk diperluaskan ke pelbagai aplikasi kehidupan.

"Selain itu, ia juga mampu menangani masalah tidak cukup makanan dari sumber seperti haiwan dan tumbuhan.

"Pengisyaratan sel di dalam organisasi marin belum diterokai secara meluas dan bakal menjanjikan pelbagai penemuan yang mampu memberi impak besar kepada penuntut, terutamanya dalam jurusan Pengajian Sains Asas," katanya.

Berita Harian X