Khamis, 27 Julai 2017 | 2:37pm

UTM kutip RM1.2j dana wakaf pendidikan

JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengumpul lebih RM1.2 juta menerusi Dana Wakaf Pendidikan UTM (DWP-UTM) sejak ia diperkenalkan pada Disember tahun lalu.

Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM, Prof Dr Azlan Abdul Rahman, berkata dana yang diterima dalam bentuk tunai daripada syarikat korporat tempatan termasuk kakitangan UTM itu sebagai usaha menjana pendapatan bagi menampung keperluan kewangan universiti.


GAMBAR fail, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM, Prof Dr Azlan Abdul Rahman (kanan) bergambar bersama juara kumpulan terbaik keseluruhan bagi pertandingan Cabaran Sains Kebangsaan 2017 peringkat negeri yang diadakan di Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai. - Foto Nurul Amanina Suhaini

Katanya, 23,000 mahasiswa peringkat sarjana muda hingga ijazah doktor falsafah (PhD) yang melanjutkan pengajian di universiti berkenaan, dengan 60 peratus daripada jumlah itu adalah golongan 40 peratus berpendapatan terendah (B40).

"Inisiatif ini menjadi platform bagi menggalakkan program penjanaan dana menerusi sumbangan masyarakat keseluruhannya sama ada dalam bentuk tunai atau aset kekal bagi kemajuan dan pembangunan pendidikan di universiti dan manfaatnya bakal dinikmati oleh semua tanpa mengira agama.

"Program yang mendapat kelulusan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) itu turut bertujuan memberi bantuan biasiswa kepada pelajar yang berkelayakan yang memenuhi kriteria seperti penyelidikan dalam pelbagai bidang keilmuan, selain tawaran pengajian pelbagai peringkat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kenderaan Wakaf oleh Syarikat Mutiara Motorsport Sdn Bhd di Dewan Bankuet, Scholar's Inn, UTM, di sini, hari ini. Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif Mutiara Motorsport Sdn Bhd, Datuk Ahmad Kemin.

Pada majlis itu, UTM menerima wakaf sebuah kenderaan jenis Toyota Innova 2.0 bernilai kira-kira RM80,000 dalam usaha melaksanakan tanggungjawab sosial, selain memenuhi tuntutan agama di dunia dan akhirat.

Azlan berkata, syarikat berkenaan menjadi yang pertama menyumbang wakaf dalam bentuk aset, sekali gus memenuhi dana wakaf di UTM untuk mempergiatkan aktiviti berkaitan pendidikan, selain pengagihannya kepada pelajar yang layak.

Katanya, bagi yang ingin menyumbangkan dana kepada universiti boleh hubungi Pejabat DWP-UTM menerusi talian 07-5531047 atau emel kepada wakaf@utm.my untuk sebarang pertanyaan.

154 dibaca
Berita Harian X