Rabu, 2 Ogos 2017 | 12:04am
KANTUNG madu yang terdapat di dalam koloni lebah kelulut. - Foto Shahrinnahar Latib

Kelulut jana pendapatan SMK Soi

KUANTAN: Keindahan persekitaran halaman Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Soi di sini, yang dihias dengan pelbagai spesies pokok bunga memukau sesiapa sahaja yang pertama kali menjejakkan kaki di sekolah berkenaan.

Pelawat mungkin lebih terkejut jika mengetahui bahawa tanaman berkenaan bukan sekadar pokok hiasan kerana keindahan dan kecantikannya, tetapi juga kerana ia sebenarnya 'makanan' untuk kelulut.

Antara pokok bunga yang menghiasi Taman Agro Ekonomi itu ialah bunga kertas, roselle, ros Jepun, kemunting dan kemunting Cina, orkid, puding, lavender, ceri, senduduk dan pinang merah.

Difahamkan projek penternakan lebah kelulut dalam kotak kayu bermula pada 2015 dan menjadi sebahagian daripada sumber pendapatan koperasi sekolah berkenaan.

Koperasi SMK Sungai Soi pernah terpilih menyertai Pameran Perdagangan Koperasi ASEAN, Persidangan dan Padanan Perniagaan (ACOTEX) 2016 di Jakarta.

PELAJAR dan guru SMK Sungai Soi melihat sarang lebah kelulut. - Foto Shahrinnahar Latib

Projek madu kelulut mula mengeluarkan hasil sejak pertengahan tahun lalu dan dalam tempoh enam bulan, hasil jualan keseluruhan yang diperoleh daripada projek itu menjangkau RM3,000.

Pengetua SMK Sungai Soi, Mahadzir Hanapiah, 50, berkata sebanyak 34 koloni lebah kelulut diternak di Taman Agro Ekonomi yang dibangun dan diuruskan sepenuhnya oleh guru dan pelajar serta koperasi sekolah.

"Kerjasama guru dan pelajar membolehkan projek itu berjalan lancar. Waktu 'menuai' madu sentiasa dinanti-nantikan kerana semua yang terbabit akan mula membuat sabun, biasanya pada cuti hujung minggu.

"Semua proses menghasilkan sabun berasaskan madu kelulut dilakukan di sekolah," katanya sambil menambah, madu kelulut dituai dua atau tiga kali sebulan sebelum dibotolkan dan dijual kepada guru dan pelawat sekolah itu.

Katanya, penghasilan sabun pembersih dan pencerah muka serta rawatan kulit jenama D'Soi Honey oleh sekolah berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada warga sekolah dan masyarakat setempat.

PENGETUA SMK Sungai Soi, Mahadzir Hanapiah menunjukkan koloni kelulut yang diternak di sekolah berkenaan. - Foto Shahrinnahar Latib

MADU kelulut yang sudah dituai dan dimasukkan ke dalam bekas untuk dijual. - Foto Shahrinnahar Latib

Beliau berkata, rasa madu kelulut berbeza mengikut spesies dan sumber makanan diperoleh serangga berkenaan.

"Madu kelulut diternak di ladang rasanya manis, manakala kelulut diternak di ladang herba menghasilkan madu agak masam," katanya.

Mahadzir berkata, kajian menunjukkan madu kelulut mengandungi pelbagai jenis asid fenolik, iaitu bahan aktif yang boleh bertindak sebagai antibarah dan antioksidan yang berguna untuk manusia.

"Kandungan antioksidan dalam madu kelulut lebih tinggi berbanding madu lebah biasa. Pengambilan madu kelulut setiap hari menjadikan seseorang tidak mudah letih dan dikatakan lebih baik untuk membantu mencegah penyakit," katanya.

GURU Perpustakaan dan Media SMK Sungai Soi, Maziah Ismail sedang mencuba madu kelulut yang diternak di sekolah berkenaan. - Foto Shahrinnahar Latib

Katanya, sekolah berkenaan turut mengusahakan projek tanaman cendawan tiram kelabu dan fertigasi di Taman Agro Ekonomi.

"Kita laksanakan program ini untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai sektor pertanian yang boleh menghasilkan pendapatan lumayan jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh," katanya.

Info
SMK Sungai Soi

  • Dibuka pada 2003
  • Mempunyai 969 pelajar, 72 guru
  • Madu kelulut dijual RM30 untuk kuantiti 100ml, RM45 (150ml)

Berita Harian X