Jumaat, 4 Ogos 2017 | 3:00pm
PENGURUS Umum Daerah Amphenol TCS Malaysia Sdn Bhd, Datuk Lee Teong Li (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan dana kepada Jurulatih SMK Mutiara Impian, Muhammad Faqhri Sobri(tiga dari kiri) di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, Georgetown. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

SMK Mutiara Impian wakili negara ke Piala Gothia 2017

GEORGETOWN: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara Impian, Simpang Ampat, melakar sejarah apabila terpilih mewakili negara ke kejohanan bola sepak Piala Gothia 2017 di Shenyang, China.

SMK Mutiara Impian dipilih ke kejohanan tahunan berprestij itu selepas mengetepikan sebuah pasukan dari negara jiran, Indonesia, pada pusingan kelayakan dengan jaringan 1-0, pada Mac lalu di Kuala Lumpur.

Acara kemuncak kejohanan remaja dunia itu akan berlangsung dari 13 hingga 19 Ogos ini. Kejohanan itu akan disertai 160 pasukan dari seluruh dunia.

Jurulatih SMK Mutiara Impian, Muhammad Faqhri Sobri, berkata beliau tidak menyangka pasukan bimbingannya mampu mencipta kejayaan sehingga menjadi sekolah pertama di Pulau Pinang akan mewakili negara ke kejohanan itu.

Beliau berkata, meskipun hanya sempat berlatih dalam tempoh singkat kerana jadual persekolahan padat, ia tidak mematahkan semangat pemain untuk mengekalkan kecemerlangan.

"Kami sudah membuat persiapan rapi dan berlatih bersungguh-sungguh untuk memastikan persembahan cemerlang ketika di China nanti.

"Kami menyasarkan untuk berada dalam kelompok empat terbaik," katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian dana di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, di sini.

Berita Harian X