Ahad, 6 Ogos 2017 | 3:46pm

Graduan perlu beri nilai tambah pada diri

SHAH ALAM: Graduan Management & Science University (MSU) perlu sentiasa memberi nilai tambah kepada diri sendiri dengan terus belajar dan menambah ilmu ke peringkat lebih tinggi, sejajar dengan pembelajaran sepanjang hayat.

Canselor MSU, Sultanah Kedah, Tuanku Hajah Hamimah Hamidun bertitah, graduan perlu berusaha, mengejar dan meneroka pelbagai bidang ilmu dengan peluang pendidikan yang ditawarkan di negara ini, terutamanya MSU.

"Apa yang penting, kesungguhan dan keinginan untuk terus berjaya dengan cemerlang. Cabaran hari ini sudah tentu tidak sama dengan apa yang dilalui semalam, serta apa yang bakal dihadapi esok dan tahun mendatang.

"Beta ingin berpesan, graduan jangan bataskan diri. Graduan perlu ada keberanian dan semangat bersaing dalam menghadapi persekitaran ekonomi global yang semakin mencabar," titah baginda.

Baginda bertitah di Majlis Konvokesyen MSU Ke-21 yang berlangsung hari ini dan esok, di kampus MSU di sini.

Sementara itu, Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid pula mengingatkan graduan MSU agar mengelakkan kejayaan segera yang tidak memotivasikan mereka ke arah kecemerlangan dalam pelajaran dan kerjaya kelak.

"Saya ingin memastikan budaya kecemerlangan dalam pelajaran dibawa dalam bidang kerja. Budaya kejayaan segera tiada nilai integriti dan akan menyebabkan pelajar hilang minat sebenar untuk belajar.

"Saya selalu nasihatkan dan beri semangat kepada graduan MSU agar mengekalkan budaya kompetitif dalam belajar dan budaya kecemerlangan. Jangan ikut budaya kejayaan segera kerana ia merosakkan semangat sebenar untuk berjaya," katanya.

Mohd Shukri berkata, pada istiadat konvokesyen kali ini seramai 35 graduan dianugerahkan Doktor Falsafah, 42 graduan menerima ijazah sarjana, 883 graduan menerima ijazah sarjana muda dan 911 graduan menerima diploma.

Beliau berkata, MSU turut menganugerahkan Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Sains Farmaseutikal kepada Profesor Dr Kenji Sugibayashi, Presiden Universiti Antarabangsa Josai (JIU), Jepun.

"Penganugerahan ini adalah pengiktirafan terhadap kepimpinan dan sumbangan beliau dalam memacu perkembangan JIU dalam bidang pendidikan di peringkat serantau dan antarabangsa.

"Lima lagi kategori anugerah khas graduan cemerlang turut diberikan kepada 59 graduan atas pencapaian mereka dalam bidang masing-masing iaitu Anugerah Pingat Emas Canselor, Anugerah Presiden, Mohd Shukri Yajid Outstanding Award, Anugerah Akademik dan Anugerah Industri," katanya.

Berita Harian X