Isnin, 7 Ogos 2017 | 6:00pm
DR Wahid (dua dari kiri) menukar dokumen bersama Dr Azuhan (dua dari kanan) disaksikan Prof Dr Khairul Anuar (kiri) dan Mohd Fauzi majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) di Menara Razak. - Foto Nurul Shafina Jemenon

UTM-NAHRIM jalin kerjasama tingkat kualiti air

KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjalin kerjasama dengan Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) bagi aktiviti penyelidikan membabitkan bidang kejuruteraan air.

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar, berkata kerjasama yang dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) itu akan memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk berkongsi maklumat serta menjalankan aktiviti berkaitan bersama.

Katanya, antara aktiviti akan dijalankan ialah penggunaan fasiliti bersama, penyelidikan termasuk perkongsian data batimetri, ombak, laut, melaksana kerja lapangan, perundingan serta penganjuran seminar.

"UTM menerusi Jabatan Hidraulik dan Hidrologi, Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA) giat menjalankan kajian bidang hidraulik meliputi kesan iklim kepada taburan hujan, air bumi, sungai, pencemaran, banjir, empangan, hakisan dan kejuruteraan pantai.

"Bidang ini selaras dengan misi NAHRIM untuk memberi perkhidmatan cemerlang sebagai pusat pakar rujuk kebangsaan dalam bidang air dan persekitarannya untuk memastikan pembangunan dan peningkatan kualiti hidup rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani MoU antara UTM dengan NAHRIM di Menara Razak UTM, hari ini.

Pada majlis itu, UTM diwakili Wahid, manakala NAHRIM diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Ir Dr Azuhan Mohamed dan disaksikan oleh Dekan FKA UTM, Prof Dr Khairul Anuar Kassim serta Timbalan Ketua Pengarah NAHRIM, Ir Mohd Fauzi Mohamad.

Wahid berkata, kerjasama antara kedua-dua pihak itu sudah lama terjalin membabitkan penyelidik dan pensyarah dalam kajian bersama berkaitan penuaian air hujan, kesan perubahan iklim kepada padi, sawit serta getah.

"Kami juga bekerjasama dalam kajian status kualiti air tasik, pembangunan pengurusan tasik di Sembrong dan Batang Ai.

"Diharap kerjasama ini akan memberi impak kepada masyarakat, selari dengan harapan Menteri Pendidikan Tinggi (Datuk Seri Idris Jusoh) yang menamakan 2017 ini sebagai tahun 'Translational Research'," katanya.

Berita Harian X