Khamis, 10 Ogos 2017 | 12:13pm
PEMENTASAN Teater Bilik di ASWARA.- Foto salhani ibrahim
ANTARA babak dalam pementasan teater Bilik.

Teater Bilik guna penceritaan ganas

KUALA LUMPUR: Pementasan teater Bilik membawa mesej ringkas, namun sarat cabaran tersendiri untuk dipersembahkan sempena Penilaian Tahun Akhir (PeTA) Diploma Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Pengarahnya, Mohamad Zulhusni Abdul Aziz, berkata beliau mengambil masa tiga bulan untuk membuat segala persiapan merealisasikan teater itu, baru-baru ini.

"Cabaran terbesar ialah meletakkan konsep dan latar bagi pemahaman penonton kerana karya ini sebenarnya berat walaupun idea asal ringkas.

"Teater ini menggunakan penceritaan ganas bertema 'Apokalips'. Justeru, semua elemen meliputi set pentas, kostum dan tatarias perlu menepati asas konsep ini," kata ketika ditemui.

Bilik mengisahkan sekumpulan pembunuh yang tinggal bersama di satu ruang, berantakan ekoran kehadiran seorang wanita bernama Noraishah, yang dibawa seorang daripada mereka.

Peraturan bilik itu ialah orang baharu, terutama mangsa yang mereka ingin bunuh, tidak dibenarkan memasuki ruang berkenaan dan jika dilanggar, individu terbabit akan dibunuh.

Mengulas lanjut, Mohamad Zulhusni berkata, persediaan dari aspek pentas ialah antara elemen utama dititikberatkan kerana tidak boleh menggunakan set besar dan statik.

Dari segi kostum pula, pihaknya terpaksa mengolah semula baju lama sedia ada berikutan tiada bajet besar, selain mencipta melodi baharu untuk lagu.

"Cabaran lain ialah melatih pelakon membawa watak pembunuh kejam. Ia agak sukar apabila perlu mengajar tiga pelakon wanita, namun mereka berjaya menjiwainya hasil sesi latihan," katanya.

INFO

Teater Bilik

Sinopsis

Mengisahkan sekumpulan pembunuh terdiri daripada lima orang dewasa yang tinggal di sebuah bilik, iaitu Hasni, Fared. Faridah, Hamed dan Helmy.

Selepas menyelesaikan misi, mereka berjumpa di dalam bilik dan berbual mengenai hasil pembunuhan dilakukan sambil menikmati kopi.

Ketika berbual, Hamed membuat satu keputusan memeranjatkan, iaitu membawa pulang seorang wanita bernama Noraisah. Hal itu mencetuskan kekecohan antara mereka.

Noraisah yang dibawa ke bilik itu dan dikurung di dalam sangkar, berasakan dirinya bakal dibunuh oleh kumpulan berkenaan. Noraisah meronta di dalam sangkar, sementara lima orang dewasa terbabit bergaduh sesama mereka.

Pergaduhan itu berterusan sehingga mengakibatkan kematian Hasni, Fared, Helmy dan Faridah. Cuma tinggal Hamed dan Noraisah di dalam bilik.

Hamed dan Noraisah berasakan hubungan mereka berjaya menyelamatkan nyawa kedua-duanya, namun kopi ditinggalkan di atas meja menjadi hidangan terakhir Hamed.

Pengarah: Mohamad Zulhusni Abdul Aziz

Sinografer: Ahmad Solehin Jamingun

Pelakon: Siti Nurbainun Nor Harizan, Farahan Nadjwa Mohd Najib, Raja Syaqinah Raja Abdullah, Muhamad Amirul Illias, Mohd Fadhli Masoot

Berita Harian X