Sabtu, 19 Ogos 2017 | 4:56pm
P Kamalanathan (kanan), Abdul Jalil (tengah) dan Christopher Anthony beramah mesra dengan peserta di Majlis pelancaran Kem Jelajah Didik Berita Harian - Tesco di Kolej Yayasan UEM, Lembah Beringin, Selangor. - Foto Salhani Ibrahim

Kementerian Pendidikan saran syarikat swasta taja program pendidikan

KUALA KUBU BHARU : Kementerian Pendidikan menyarankan syarikat swasta tampil bekerjasama menaja program pendidikan di negara ini supaya dapat melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang dari aspek akademik dan sahsiah diri.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan, berkata seminar bimbingan peperiksaan, Kem Jelajah Didik BH dengan tajaan syarikat swasta, Tesco adalah contoh tajaan program pendidikan terbaik.

Beliau berkata produk akhbar BH melalui sisipannya seperti Didik, banyak membantu murid khususnya di kawasan luar bandar menguasai teknik menjawab soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Beliau yang memuji keberkesanan seminar anjuran BH, berkata produk itu memiliki kualiti pendidikan kerana set modul dibincangkan bersama guru cemerlang dan pakar dalam subjek masing-masing bersama BH.

"Kementerian memperuntukkan hampir RM1 bilion untuk menyediakan kemudahan dan kebajikan murid antaranya, skim pinjaman buku, pengagihan susu dan makanan tambahan serta 20 jenis infrastruktur sedia ada.

"Peruntukkan itu masih tidak mencukupi untuk membiayai 10,000 sekolah di seluruh negara. Justeru, kementerian memerlukan bantuan dan galakkan syarikat swasta untuk menaja keperluan murid," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kem Jelajah Didik BH bersamaTesco, di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Abdul Jalil Hamid dan Penulis Kanan Khas (Ekonomi dan Hal Ehwal Semasa) BH, Saidon Idris.

Selain itu, turut hadir adalah Pengarah Stor Sentral, Tesco Malaysia, Christoper Anthony dan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Yayasan UEM, Datin Nor Rubaiha Mohamed Nor.

Kem Jelajah Didik BH-Tesco membabitkan 60 Sekolah Angkat Tesco - PINTAR, adalah kerjasama pertama antara kedua-dua pihak.

Seminar itu diadakan di Kolej Yayasan UEM, hari ini membabitkan 250 murid dari tiga sekolah angkat Tesco iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Tun Teja, SK Taman Bunga Raya 2 dan SK Bukit Sentosa.

Mengulas lanjut, Kamalanathan berkata murid memiliki masa kira-kira tiga minggu lagi untuk membuat persediaan menduduki peperiksaan UPSR September ini.

"Seminar ini akan memberikan semangat dan motivasi untuk murid memperoleh keputusan cemerlang dalam UPSR.

"Pemilihan lokasi seminar juga sebagai satu tarikan dan inspirasi untuk murid terus berjaya dalam pelajaran sekali gus, melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi," katanya.

Sementara itu, Christoper berkata Tesco menaja hampir 1,000 murid dari sekolah angkat di empat lokasi iaitu Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

"Program ini membantu meningkatkan prestasi sekolah terpilih dalam beberapa aktiviti anjuran sekolah dan Tesco.

"Antaranya, acara berjalan amal, Walk For Kids untuk menaiktaraf kemudahan sekolah di Lembah Klang.

"Selain itu, bantuan dana Hari Sukan, Hari Kecemerlangan, Hari Guru dan kempen Dana Bulan Bermakna untuk kebajikan 600 murid di 60 sekolah angkat serta Kem Jelajah Didik," katanya.

Sementar itu, Jalil berkata produk pendidikan BH akan diperluaskan dengan mewujudkan kerjasama bersama syarikat multinasional dan jenama gergasi lain di negara ini.

"Kita juga berhasrat menjalinkan kerjasama dengan wakil rakyat di seluruh negara serta mengukuhkan jenama produk Kem Jelajah Didik BH, melalui sokongan guru dan ibu bapa," katanya.

Berita Harian X