Rabu, 6 September 2017 | 6:55pm
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Almacrest International Collage, Stephanie Yen Chung Wai (tiga dari kiri) bersama Pengerusi Persatuan Malim Gunung Kinabalu, Junaydie Sihan (kanan) serta malim gunung yang menerima pengiktirafan daripada Royal Institute Singapore di Kota Kinabalu. - Foto Mohd Adam Arinin

Malim Gunung Kinabalu gembira terima biasiswa

KOTA KINABALU: "Saya gembira dengan biasiswa ini dan akan mengambil peluang ini untuk meneruskan pengajian dalam bidang berkaitan dengan kerja sekarang," kata Junaydie Sihan, 40.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Malim Gunung Kinabalu ialah sebahagian daripada 135 malim Gunung Kinabalu yang mendapat tajaan biasiswa dan pengiktirafan daripada Almacrest International College, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian sijil pengiktirafan daripada Royal Institution Singapore di Menara Tun Mustapha, di sini hari ini.

Junaydie juga merakamkan terima kasih kepada Almacrest International College dengan tajaan biasiswa itu yang dianggap sebagai penghargaan kepada malim gunung yang terbabit membantu mangsa gempa bumi, kira-kira dua tahun lalu.

"Saya percaya ramai malim gunung yang mendapat biasiswa ini terutama yang masih muda akan meneruskan pembelajaran mereka ke tahap lebih tinggi," katanya.

Sementara itu dalam majlis yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Unit Pengurusan Almacrest International College, Stephanie Yen Chung Wai, berkata seramai 135 malim Gunung Kinabalu mendapat tajaan biasiswa dan pengiktirafan daripada kolej berkenaan.

Katanya, tajaan biasiswa dan pengiktirafan itu ialah tanggungjawab sosial korporat (CSR) kolej itu bagi menghargai bantuan yang diberikan malim gunung kepada pelancong dalam dan luar negara, ketika gempa bumi di Ranau pada Jun 2015.

"Ini sebahagian daripada CSR kita bagi membolehkan malim gunung atau anak-anak dan saudara mereka meneruskan pembelajaran ke peringkat diploma di kolej ini menerusi tajaan biasiswa berkenaan.

"Seramai 131 daripada 135 malim gunung itu akan mendapat biasiswa sebanyak RM6,000 seorang manakala bagi empat malim gunung yang terkorban, pengajian anak atau saudara mereka selama dua tahun di kolej itu akan ditanggung sepenuhnya, iaitu sebanyak RM20,000 seorang.

"Sekiranya malim gunung itu sudah berusia, mereka boleh memindahkan biasiswa itu kepada anak-anak atau saudara lain," katanya.

Sebanyak enam kursus yang ditawarkan pada peringkat diploma di Almacrest International College antaranya dalam bidang ekonomi, perakaunan dan pemasaran.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan biasiswa itu mencecah RM900,000.

Tragedi gempa bumi bermagnitud 5.9 skala Richter pada 5 Jun lalu mengegarkan Sabah sekaligus meragut 18 nyawa serta mengakibatkan kerosakan harta benda terutama di Ranau.

Daripada 18 mangsa yang terkorban dalam kejadian gempa bumi itu, sembilan daripadanya ialah warganegara Singapura, enam Malaysia, masing-masing seorang dari Jepun dan China manakala seorang merupakan warganegara Filipina yang menjadi penduduk tetap di Singapura.

4293 dibaca
Berita Harian X