Sabtu, 16 September 2017 | 6:06pm
MOHD Sirhajwan Idek.

Hadiah Hari Malaysia

KUALA LUMPUR: "Ini hadiah Hari Malaysia yang amat berharga kerana sistem pendidikan negara yang setanding negara maju menjadikan guru kita mampu bersaing di peringkat dunia."

Mohd Sirhajwan Idek, 29, nyata berbangga dipilih sebagai penerima biasiswa International Association of Teachers of English as a Foreign Language (IATEFL) kategori Express Publishing.

Guru dari Kolej Vokasional Keningau, Sabah itu berkata, kejayaan berkenaan lebih manis kerana diumumkan beberapa hari menjelang Hari Malaysia, tarikh keramat pembentukan Malaysia.

Penerima biasiswa itu mencakupi 31 kategori yang dibiayai 25 organisasi dengan pemenang menerima penajaan menghadiri Persidangan IATEFL di Brighton, United Kingdom pada 9 hingga 13 April, tahun depan.

Projek dihasilkannya yang memenangi biasiswa berkenaan adalah aplikasi berasaskan pembelajaran untuk memberi motivasi kepada pelajar agar lebih kreatif dan yakin menggunakan bahasa Inggeris.

"Saya menghasilkan projek kategori Expreress Publishing yang bersaing dengan 220 pemohon seluruh dunia.

"Kejayaan ini melayakkan saya membentangkan projek berkenaan sempena Persidangan IATEFL di Brighton, April tahun depan.

"Saya juga akan menerima 2,000 pound sterling (RM11,387) daripada penganjur," katanya kepada BH, hari ini.

Sirhajwan juga berada dalam senarai 10 finalis Anugerah Kecemerlangan Guru dalam bidang Keusahawanan dan Inovasi Antarabangsa sempena Persidangan Keusahawanan dan Inovasi Eropah di Paris, 18 hingga 25 September ini.

Anugerah berkenaan anjuran Academic Conferences and Publishing International Limited (ACPI).

Berita Harian X