Ahad, 24 September 2017 | 10:59pm
DR Tengku Muhammad Fa-iz Petra. - Foto Zaman Huri Isa
DR Tengku Muhammad Fa-iz Petra. - Foto Zaman Huri Isa

Pemangku Raja Kelantan ke Majlis Santapan Malam UMK

KOTA BHARU: Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra, menghadiri Majlis Santapan Malam Sempena Istiadat Pemasyhuran Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), di sini, malam ini.

Keberangkatan tiba baginda pada jam 8.45 malam diiringi Tengku Temenggong Kelantan, Datuk Tengku Mohamad Rizam Tengku Aziz; Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat.

Turut hadir, Naib Canselor UMK, Prof Datuk Dr Mortaza Mohamed dan Pengerusi Lembaga Pengarah UMK, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Majlis dihadiri 250 tetamu daripada kerabat, kakitangan awam, badan korporat serta wakil dari seluruh universiti awam dan institut pendidikan tinggi swasta.

Sementara itu, Hamad Kama Piah ketika menyampaikan ucapan berkata, UMK ialah universiti ke-19 ditubuhkan sejak 2007 hasil kerjasama Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri bagi memenuhi hasrat rakyat yang mahu pusat pengajian di negeri ini.

Beliau berkata, dengan usianya genap 10 tahun, universiti yang bermula seramai 255 pelajar membabitkan enam program ditawarkan, kini berkembang pesat apabila mempunyai seramai 9,725 pelajar dengan 21 program.

"UMK menunjukkan perkembangan yang baik dalam modal insan yang berciri keusahawanan apabila melahirkan ramai usahawan di negara ini sekaligus merancakkan ekonomi di kawasan sekitar universiti ini," katanya.

Majlis Pemasyhuran Tuanku Canselor akan diadakan di Dewan Keusahawanan, Kampus Kota UMK di sini esok yang akan dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Pelantikan Pemangku Raja Kelantan sebagai Canselor bagi tempoh lima tahun sehingga 2022 diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 12 Februari lalu.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X