Jumaat, 29 September 2017 | 12:17am
PENGARAH IPGKIK, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali

Debat bahas usul kepenggunaan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 64 pasukan institusi pendidikan tinggi (IPT) akan bersaing merebut kejuaraan Debat Terbuka Ilmu Khas (DeTIK) 2017 di Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK), Cheras, di sini, mulai esok hingga Isnin ini.

Antara pasukan yang mengesahkan penyertaan adalah juara bertahan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan pasukan tuan rumah, IPGKIK, yang muncul naib juara edisi ketiga, tahun lalu.

Pengarah IPGKIK, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali, berkata debat edisi keempat itu akan membawa perspektif debat lebih luas bertunjangkan tema utama pendidikan dan elemen kepenggunaan bagi mewujudkan arena perdebatan ilmiah dan intelektual.

"DeTIK 2017 menjadi medan perdebatan bagi mencorakkan mahasiswa berilmu di seluruh pelosok tanah air.

"Antara skop usul perdebatan adalah Model Kurikulum Barat, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, Pembelajaran Abad Ke-21, Mengoptimumkan Nilai Ringgit, Kurikulum Khas, serta Bidang Pendidikan Teknik dan Vokasional (TVET).

"Bertema `Pendidikan dan Kepenggunaan', DeTIK 2017 menggunakan format perdebatan ala Parlimen British dan terbuka kepada pelajar universiti awam (UA), Institut Pendidikan Guru (IPG) dan IPT swasta berusia 18 tahun hingga 21 tahun," katanya kepada BH, hari ini.

Mohd Suhaimi berkata, pada peringkat awal, sekretariat penganjur mengehadkan 60 penyertaanb, namun memutuskan menambah empat lagi penyertaan untuk memberi peluang kepada pasukan lain yang mahu mengambil bahagian.

Perasmian DeTIK 2017 dijangka disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin, malam esok dan penutupan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Isnin ini.

340 dibaca
Berita Harian X