Ahad, 1 Oktober 2017 | 9:46am
PENGERUSI Jawatankuasa Pendidikan, Datuk Tajul Urus Mat Zain (tengah) bergambar bersama wakil PCFK dan peserta Bengkel Skor A+ SPM PETRONAS 2017, di Dewan Agrenas PFCKB, Gurun. - Foto Nur Syazwana Mansor
PENGERUSI Jawatankuasa Pendidikan, Datuk Tajul Urus Mat Zain (dua dari kanan) menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta Bengkel Skor A+ SPM PETRONAS 2017. - Foto Nur Syazwana Mansor
PELAJAR sekolah yang menyertai Bengkel Skor A+ SPM PETRONAS 2017. - Foto Nur Syazwana Mansor

210 pelajar sertai Bengkel Skor A+ SPM PETRONAS 2017

GURUN: Seramai 210 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari 18 sekolah di negeri ini menyertai Bengkel Skor A+ SPM PETRONAS 2017 di bawah program Sentuhan Kasih 'Back To School' di Dewan Agrenas, Petronas Chemical Fertilizer Kedah (PCFK) Sdn Bhd, di sini, semalam.

Bengkel membabitkan dua subjek teras iaitu Matematik dan Bahasa Inggeris bermula jam 8 pagi dan berakhir pada jam 5 petang adalah hasil kerjasama Petronas Chemical Group (CPG) bersama Berita Harian (BH).

Ketua Jabatan Pengeluaran PCFK, Suhaimi Shafie, berkata program terbabit yang diadakan secara tahunan adalah sebahagian daripada inisiatif pelaburan sosial korporat (CSI) syarikat yang memfokuskan kepada bidang pendidikan.

Beliau yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif PCFK, Sarun Selamat, berkata umum mengetahui pencapaian pelajar khususnya calon SPM dalam subjek Matematik dan Bahasa Inggeris masih di tahap lemah menyebabkan pihaknya mengambil inisiatif mengadakan bengkel khas bagi membantu menambah pengetahuan pelajar dalam dua mata pelajaran berkenaan.

"Syarikat bercadang melonjakkan semangat dan persediaan calon SPM dalam dua subjek ini berikutan ia adalah antara subjek penting untuk melayakkan pelajar lepasan SPM melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi," katanya berucap pada Majlis Penutup Program terbabit.

Majlis penutup disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Datuk Tajul Urus Mat Zain.

Pada masa sama Suhaimi berkata, pelajar terpilih terdiri daripada calon SPM yang berpotensi untuk cemerlang, namun kurang berkemampuan untuk menghadiri kelas tuisyen selain mereka yang tidak mempunyai masalah disiplin di sekolah.

"Kita juga turut mengadakan slot untuk membina kerjaya di PETRONAS, dan berharap ia dapat memberi inspirasi kepada peserta untuk memilih kerjaya mereka selepas ini.

"Sememangnya kita hanya mampu mendorong seseorang individu itu untuk berjaya, namun keinginan ke arah itu hanya mampu dipupuk diri sendiri," katanya.

Sementara itu, peserta bengkel dari Sekolah Menengah Khir Johari dekat sini, Fauzan Hanafi Mohd Fazli, berkata bengkel terbabit banyak membantu menambah pengetahuannya dalam dua subjek yang diajar.

Katanya, banyak maklumat dan tips berguna yang disampaikan penceramah sepanjang bengkel itu berlangsung.

"Banyak tips berguna yang saya pelajari dan berharap ia dapat membantu saya untuk menghadapi peperiksaan SPM nanti," katanya.

Peserta lain, dari sekolah sama, Ku Ameisha Ku Azhar pula berkata, bengkel terbabit berjaya memantapkan lagi pemahamannya dalam subjek Matematik dan Bahasa Inggeris.

Katanya, banyak contoh soalan dan cara untuk menjawab soalan yang dipelajari di sini.

"Kini saya lebih yakin dan berani untuk menghadapi peperiksaan SPM dan berharap dapat memperoleh keputusan yang cemerlang nanti," katanya.

Berita Harian X