Selasa, 3 Oktober 2017 | 3:25pm
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim (dua dari kanan) semasa melancarkan Bulan Kaunseling Kebangsaan 2017 di Dewan Perdana Nur KPWKM. - Foto NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Jangan buang sekolah - Rohani

PUTRAJAYA: Hukuman buang sekolah bukan penyelesaian yang berkesan dalam menangani gejala sosial.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata hukuman itu seolah-olah menafikan hak pelajar untuk mendapatkan pendidikan asas seperti kanak-kanak lain.

Katanya, langkah itu juga memberi kesan negatif kepada masyarakat kerana anak-anak itu terabai, melepak dan terbabit dalam anasir tidak sihat.

Beliau berkata, kementeriannya mencadangkan penyelesaian dengan menempatkan pelajar bermasalah dalam kelas pemulihan dan mereka diberi bimbingan oleh pakar atau guru kaunseling.

Rohani berkata, cadangan itu sudah dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan dan Kabinet menyerahkan kepada Kementerian Pendidikan untuk tindakan lanjut.


Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim (dua dari kiri) melihat buku panduan Program Perkembangan Profesional Perterusan Kaunselor Berdaftar selepas melancarkan Bulan Kaunseling Kebangsaan 2017 di Dewan Perdana Nur KPWKM. - Foto NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

"Melihat kepada situasi hari ini, semua kementerian juga sekarang diarah untuk mengadakan program intervensi bagi mengatasi masalah sosial," katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan Majlis Pelancaran Bulan Kaunseling Kebangsaan 2017, bertemakan Membudayakan Kaunseling, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Presiden Lembaga Kaunselor, Nor Amni Yusoff dan Ahli Lembaga Kaunselor, Prof Emeritus Datuk Dr Amir Awang.

Mengulas lanjut, Rohani berkata, langkah mengekalkan pelajar bermasalah dalam sistem pendidikan dapat mencegah remaja itu daripada didekati unsur negatif dalam masyarakat.

"Jadi mereka tidak terabai apabila berada di luar kawasan sekolah, malah guru kaunseling memainkan peranan besar untuk membantu pelajar ini menangani masalah yang dihadapi.

"Itulah tugas yang perlu dilakukan oleh guru kaunseling dalam membimbing dan membawa mereka kembali ke sistem persekolahan," katanya.

2760 dibaca
Berita Harian X