Isnin, 9 Oktober 2017 | 1:09pm
Pemangku Raja Kelantan yang juga Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr Tengku Muhammad Faiz Petra menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah bagi Sains Kelestarian kepada Pengerusi Landskap Malaysia, Tun Jeanne Abdullah (isteri kepada mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi) sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam bidang terbabit di Istiadat Konvokesyen UMK Kali Ke-7 di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kota Bharu. - Foto NSTP/Syamsi Suhaimi

Tubuh pasukan khas - Canselor UMK

KOTA BHARU: Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra, menyarankan penubuhan pasukan khas untuk merancang strategi baharu bagi membawa perubahan kepada Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Baginda yang juga Canselor UMK, bertitah pasukan itu bertanggungjawab menentukan perubahan dalam aspek pendidikan, penyelidikan, tadbir urus, hal ehwal akademik dan kurikulum pembangunan pelajar serta keusahawanan.

"Dalam usia UMK menjangkau 10 tahun, beta menyedari pelbagai kejayaan yang membanggakan sudah dicapai, namun perjalanan universiti ini masih jauh dan akan melalui zaman berbeza serta mencabar.

"Negara kita sudah melangkah ke zaman dan era industri 4.0 yang dipenuhi teknologi baharu sekali gus mengubah norma lazim, mencabar kebijaksanaan ilmu tradisi dan menukar landskap kehidupan secara drastik.

"UMK perlu memikirkan strategi baharu yang lebih berfokus, berstruktur dan berimpak bagi membantu membangunkan negeri ini dalam pelbagai sektor seperti ekonomi, pelancongan, perhutanan, pemeliharaan alam sekitar, pelaburan, kesejahteraan bandar dan pembasmian kemiskinan di luar bandar," titahnya.

Baginda menyampaikan titah di Istiadat Konvokesyen UMK Ke-7 di Kampus Kota UMK, di sini hari ini.

Seramai 2,461 graduan UMK bakal menerima ijazah doktor falsafah (PhD), sarjana dan sarjana muda pada Istiadat Konvokesyen itu yang diadakan selama empat hari bermula hari ini hingga Khamis ini.

Baginda berharap kerajaan negeri dapat mempertingkatkan kerjasama untuk mengoptimumkan segala kepakaran di UMK sekali gus memperkukuhkan perancangan dan pelaksanaan program.

"Kehidupan manusia akan berubah menyebabkan bidang pekerjaan lazim hilang dan pekerjaan baharu akan muncul yang memerlukan kita merebut peluang itu pada masa depan.

"Tenaga buruh akan digantikan dengan robot dan automasi; perundangan, pentadbiran dan pengurusan akan diambil alih 'artificial intelligent' manakala industri perniagaan akan dipandu 'big data'," titahnya.

Berita Harian X