Isnin, 9 Oktober 2017 | 4:34pm
SHAHIDAN Abdul Razak dan isteri, Nuriah Mat Yusof menunjukkan gambar Muhammad Zahin Shahidan dan Anugerah Anumerta pada Majlis Istiadat Konvokesyen ke-7 di Kota Bharu, hari ini. - Foto Syamsi suhaimi
MAHANI Mustafa hadir mewakili Che Susmaliza Che Kamarudin menerima Anugerah Anumerta di Majlis Istiadat Konvokesyen ke-7 di Kota Bharu, hari ini. - Foto Syamsi suhaimi

Keluarga sebak terima anugerah arwah anak

KOTA BHARU: Ibu bapa dua penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang anak mereka meninggal dunia sebelum sempat menerima ijazah, hadir menerima Anugerah Anumerta di Majlis Istiadat Konvokesyen ke-7, di sini, hari ini.

Anugerah itu kali pertama disampaikan UMK kepada waris graduan yang meninggal dunia namun sempat menyelesaikan lebih 85 peratus pengajian mereka.

Shahidan Abdul Razak, 58, dan isteri, Nuriah Mat Yusof, 50, hadir bagi mewakili anak mereka, Muhammad Zahin Shahidan, 23; manakala Che Kamarudin Che Jaafar, 49, dan isteri, Mahani Mustafa, 44, hadir mewakili Che Susmaliza Che Kamarudin, 23.

Nuriah ketika ditemui berkata anaknya demam selama tiga hari selepas disyaki terkena penyakit kencing tikus dan meninggal dunia pada Mei lalu.

"Saya masih teringat gurauan terakhir Muhammad Zahin yang menyuruh saya mewakilinya menerima ijazah pada hari konvokesyen.

"Sebulan sebelum meninggal dunia, arwah bergurau dengan berkata 'mama naik pentas ambil ijazah', tak sangka gurauan dia jadi kenyataan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Istiadat Konvokesyen ke 7 di UMK Kampus Kota Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra.

Katanya, arwah yang juga pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Kelestarian) hanya tinggal lagi dua minggu untuk menamatkan latihan industri (LI) di Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) di Kedah sebelum meninggal dunia.

Sementara itu, Che Kamarudin berkata beliau sebak apabila melihat graduan lain berpakaian cantik dan menerima anugerah masing-masing pada majlis konvokesyen hari ini.

Katanya, anaknya yang mengambil jurusan Sarjana Muda Sains Gunaan (Teknologi Bahan) meninggal dunia akibat masalah jantung dan buah pinggang pada Julai lalu.

4430 dibaca
Berita Harian X