Sabtu, 14 Oktober 2017 | 5:30pm

Pendayung raih Anugerah Diraja UTHM

MUHAMMAD Hariz bersama ibu, Rokiah Mohd Jadi (kanan) dan bapa, Mohd Sharif Taan (kiri) pada Konvokesyen UTHM ke-17 di Dewan Sultan Ibrahim, UTHM Batu Pahat. - Foto Adi Safri

BATU PAHAT: Aktif bersukan tidak menghalang seorang mahasiswa meraih anugerah tertinggi, Anugerah Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) pada Konvokesyen ke-17 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di sini hari ini.

Muhammad Hariz Mohd Sharif, 24, pemenang pingat emas untuk skuad mendayung Johor pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2013, berkata beliau tidak pernah menyangka mampu meraih anugerah akademik tertinggi itu.

Ini kerana, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik (Kuasa) itu berkata, beliau sering menghabiskan masa berlatih untuk persiapan pertandingan.

Muhammad Hariz mula aktif dalam sukan mendayung ketika mengikuti pengajian peringkat diploma di UTHM.

"Alhamdulillah, walaupun sering ketinggalan kelas sehingga dua minggu pada setiap semester kerana pelbagai latihan dan pertandingan di dalam dan luar negara, saya masih mampu mencapai keputusan cemerlang.

"Apa yang saya lakukan, belajar lebih awal sebelum bertemu pensyarah untuk bertanya mengenai kuliah atau ujian yang tertinggal selain mengulangkaji pada waktu Subuh setiap hari.

"Anugerah ini juga membuktikan aktif dalam aktiviti kokurikulum termasuk sukan tidak akan mengganggu pengajian asalkan pandai membahagi masa dan gigih mencapai kecemerlangan," katanya.

Beliau yang kini bertugas sebagai jurutera projek di Selangor adalah antara 4,272 siswazah yang menerima sijil dan ijazah masing-masing pada majlis konvokesyen kali ini.

Terdahulu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang juga Canselor UTHM, berkenan menyempurnakan perasmian konvokesyen dan menyampaikan ijazah.

Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kejuruteraan Elektrik) diberikan kepada Dr Mazlan Abbas bagi menghargai sumbangan beliau kepada pendidikan tinggi, industri, komuniti dan kepemimpinan teknologi serta inovasi.

SULTAN Ibrahim Iskandar berkenan menyampaikan Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kejuruteraan Elektrik) kepada Dr Mazlan Abbas (kanan) pada Konvokesyen UTHM ke-17 di Dewan Sultan Ibrahim, UTHM Batu Pahat. - Foto Adi Safri

Siswazah yang menerima sijil dan ijazah masing-masing kali ini merangkumi pelbagai peringkat pengajian, iaitu ijazah doktor falsafah (81), sarjana (341), sarjana muda (3,260) dan diploma (590).

Yang hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa yang juga Pro Canselor UTHM; Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Tan Sri Dr Jamilus Md Hussin dan Naib Canselor, Prof Dr Wahid Razzaly.

Seorang lagi penerima Anugerah Diraja (Pingat Jaya Cemerlang), Tan Tee How, berkata tiada rahsia tertentu untuknya mencapai kecemerlangan selain menumpukan sepenuh perhatian dalam kelas ketika pensyarah mengajar.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam itu, berkata apa yang penting adalah memahami konsep dan teori pembelajaran dengan jelas.

"Saya tidak mengamalkan kaedah menghafal fakta pelajaran dan kurang gemar membaca buku berkali-kali bagi mengingati setiap pelajaran yang diajar.

"Saya juga tidak suka berada dalam tekanan akibat belajar, sebaliknya sering menghabiskan masa menonton rancangan televisyen kegemaran bagi memudahkan belajar dan menumpukan perhatian di kelas," katanya.

Berita Harian X