Ahad, 15 Oktober 2017 | 12:31am

Makan malam amal SMK Hillcrest pungut RM50,000


PENAUNG Majlis Makan Malam Amal SMK Hillcrest 2017, Datuk Abdul Rahim Kamarudin (berdiri, tujuh kanan), Pengetua SMK Hillcrest, Alimah Abu Noh (duduk, empat kiri) dan Yang Dipertua PIBG SMK Hillcrest, Zakhir Hussain Abdul Latif (berdiri, enam kanan) bergambar bersama guru dan kakitangan PIBG SMK Hillcrest ketika Majlis Makan Malam Amal 2017 di Finas. - Foto Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: Majlis Makan Malam Amal Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hillcrest 2017 berjaya memungut dana berjumlah RM50,000 menerusi penjualan kerusi makan malam berkenaan.

Penaung Majlis Makan Malam Amal SMK Hillcrest 2017, Datuk Abdul Rahim Kamarudin, berkata dana itu adalah bagi menaik taraf infrastruktur sekolah berkenaan.

Abdul Rahim, yang juga Penyelaras Parlimen Gombak berkata, majlis itu juga dapat memperkukuhkan silaturahim dan permuafakatan antara guru dan bekas murid SMK Hillcrest.

"Sekolah ini sudah berusia lebih 25 tahun. Selain dana yang dikutip malam ini, saya akan usaha dapatkan peruntukan daripada Jabatan Perdana Menteri untuk bantu," katanya yang turut memberi sumbangan peribadi sebanyak RM5,000.

Beliau turut mengucapkan selamat maju jaya kepada murid sekolah berkenaan yang akan menghadapi peperiksaan nanti.

"Moga SMK Hillcrest dapat melahirkan insan yang tidak hanya berjaya dalam bidang akademik, malah seimbang dari segi lain , termasuk berfikiran secara kritis bagi menembusi pasaran kerja dengan lebih yakin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum melancarkan Majlis Makan Malam Amal SMK Hillcrest 2017, di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengetua SMK Hillcrest, Alimah Abu Noh serta Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Hillcrest, Zakhir Hussain Abdul Latif.

Sementara itu, Alimah berkata, kakitangan sekolah dan PIBG merancang majlis makan malam berkenaan kurang dari dua bulan.

"Saya amat berterima kasih kepada semua yang terbabit dalam penganjuran majlis makan malam ini," katanya.

Zakhir Hussain berkata, dana itu akan digunakan secara seimbang bagi memastikan kebajikan pelajar terus dipelihara.

"Kita memang perlukan dana untuk naik taraf sekolah, sebelum ini kita belanja RM13,000 untuk membaiki bumbung perhentian bas.

"Kita akan lihat keperluan sekolah yang lain bagi memastikan ia terus menjadi pusat pembelajaran dan pengajaran yang selesa dan selamat," katanya.

Berita Harian X