Isnin, 23 Oktober 2017 | 8:04pm

Murid SK Pulau Seduku diancam buaya

SRI AMAN: Hampir setiap hujung minggu, 12 guru dan 26 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Seduku di Lingga, di sini bersabung nyawa mengharungi ombak besar Sungai Batang Lupar untuk berulang alik antara sekolah berkenaan ke pekan berhampiran.

Setiap kali menyusuri sungai yang terkenal dengan legenda buaya, Bujang Senang, pasti kehadiran mereka 'diintai' sang bedal, sekaligus mengundang keresahan dalam kalangan ibu bapa.

Ia antara cabaran dihadapi guru sekolah pedalaman itu dalam menggalas amanah diberikan, begitu juga anak murid mereka dalam memburu ilmu yang ada di antaranya terpaksa berpisah dengan ibu bapa seawal usia tujuh tahun kerana perlu tinggal di asrama.

HAMPIR setiap hujung minggu, 12 guru bersama 26 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Seduku di Lingga, `bersabung nyawa' mengharungi ombak besar Sungai Batang Lupar untuk berulang alik antara sekolah berkenaan ke pekan berhampiran. -Foto Rudi Affendi Khalik

Kepayahan mereka menjadi tular di laman sosial sejak kelmarin kerana mereka terpaksa meredah ribut dan keadaan sungai yang bergelora untuk kembali ke sekolah.

Ia jelas memperlihatkan keperluan mendesak agar pembinaan sekolah baharu di Lingga disiapkan segera selepas beberapa kali tertangguh disebabkan karenah kontraktor.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Pulau Seduku, Datuk Wan Abdillah Adruce Wan Abdul Rahman turut mendesak agar Kementerian Pendidikan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat punca kelewatan projek.

"Kementerian Pendidikan menyalurkan peruntukan mencukupi bagi membina sekolah baharu berkenaan, malah sudah dua kali tarikh akhir menyiapkan kerja berkaitan diberikan kepada kontraktor dilantik, namun projek itu masih gagal disiapkan. Ini menganiaya guru dan murid berkenaan.

"Ini tentunya menjejaskan guru dan murid sekolah. Mereka tiada pilihan lain kecuali menggunakan kemudahan sedia ada yang semakin usang, dengan suasana pengajaran dan pembelajaran yang tidak kondusif," katanya ketika dihubungi BH.

Sekolah baharu perlu disiapkan segera selepas beberapa kali tertangguh disebabkan karenah kontraktor di Lingga. -Foto Rudi Affendi Khalik

Pada 2015, Kementerian Pendidikan meluluskan pembinaan sekolah baharu berharga RM7 juta bagi menampung keperluan guru dan murid SK Pulau Seduku menggunakan kaedah sistem pembinaan bersepadu di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10).

Bagaimanapun, pelaksanaan projek berkenaan tertangguh selama dua tahun disebabkan masalah dihadapi kontraktor, selain dua kali diberikan tarikh akhir menyiapkan projek berkenaan, masing-masing pada Januari dan Julai lalu, namun masih gagal mematuhi tempoh berkenaan.

Difahamkan, kontraktor terbabit juga sedang berusaha memohon tarikh penangguhan baharu daripada Kementerian Pendidikan sehingga Jun 2018.

Wan Abdillah berkata, sebahagian besar kerja pembinaan sekolah baharu itu siap dan hanya perlu melaksanakan fasa perincian.

"Sebanyak 90 peratus projek sudah disiapkan pihak subkontraktor, dan hanya pada Ogos lalu, bayaran RM3 juta dilangsaikan oleh syarikat subkontraktor pertama, yang dilantik kontraktor kepada subkontraktor kedua yang melaksanakan projek. 

"Kerja itu sepatutnya boleh disiapkan pada Julai lalu mengikut tarikh akhir baharu ditetapkan, namun timbul isu kontraktor utama mahu melantik subkontraktor lain untuk mengambil alih projek, menyebabkan subkontraktor kedua yang kini melaksanakan kerja terpaksa menghentikan kerja, bimbang tidak dibayar.

"Kita turut dimaklumkan kontraktor utama gagal melakukan pembayaran mengikut aturan sepatutnya. Ini tentunya menimbulkan kebimbangan kepada subkontraktor berkenaan yang sudah mengeluarkan sejumlah besar perbelanjaan bagi menyiapkan projek itu," katanya.

Justeru, beliau menggesa siasatan segera dilakukan ke atas kontraktror terbabit, lebih-lebih lagi pihak kementerian dikatakan sudah melakukan pembayaran mengikut kemajuan projek, namun bayaran tidak sampai kepada subkontraktor.

"Kita sudah terlalu lama bersabar, seharusnya tiada lagi lanjutan masa. Kementerian Pendidikan perlu bertegas dengan kontraktor terbabit. Siasat segera apa yang berlaku atau kita akan bawa kes ini kepada SPRM," katanya.

INFO

- SK Pulau Seduku yang asal dibina pada 1973

- RM7 juta peruntukan projek sekolah baharu

- Sungai Batang Lupar turut dikenali dengan legenda Bujang Senang

- Pulau Seduku diwartakan sebagai santuari buaya pada 2012

HAMPIR setiap hujung minggu, 12 guru bersama 26 murid SK Pulau Seduku di Lingga, `bersabung nyawa' mengharungi ombak besar Sungai Batang Lupar untuk berulang alik antara sekolah berkenaan ke pekan berhampiran.-Foto Rudi Affendi Khalik
Berita Harian X