Ahad, 29 Oktober 2017 | 1:51pm
MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh melihat pameran pada majlis perasmian bangunan baharu Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan Kampus Kota Bharu dan Pelancaran Big Data Lab Seluruh Sistem UiTM, di Kota Bharu, hari ini. - Foto Syamsi Suhaimi

Yuran pendidikan terendah di Asia

KOTA BHARU: Kerajaan sudah menampung lebih 90 peratus yuran akademik yang dikenakan di universiti awam, menjadikan bayaran pendidikan di negara ini yang terendah di Asia.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata sebagai contoh, yuran program pengajian perubatan sebelum subsidi adalah sebanyak RM289,885 tetapi pelajar hanya perlu membayar yuran sebanyak RM9,000 sepanjang tempoh pengajian.

Beliau berkata, secara purata, kerajaan sudah menanggung sebanyak 91.41 peratus subsidi bagi program perubatan di negara ini.

"Jadi, pakatan pembangkang hanya pandai cakap saja untuk memberi pendidikan percuma, namun nak laksanakan susah.

"Kalau kita tidak tolong Universiti Selangor (UNISEL), tutuplah universiti itu. Dulu mereka pernah laksanakan (pendidikan percuma) di UNISEL, namun tidak berjaya sehinggakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diperlukan untuk membantu mereka.

"Jadi, kalau mereka kata nak beri pendidikan percuma, kita sebenarnya sudah hampir memberi pendidikan percuma dengan menanggung subsidi yuran pendidikan setiap pelajar lebih 90 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan bangunan baharu Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan Kampus Kota Bharu dan Pelancaran Big Data Lab Seluruh Sistem UiTM, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said.

Beliau mengulas manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang dibawa pakatan pembangkang, antara lain memperkenalkan pendidikan percuma kepada kanak-kanak di peringkat prasekolah sehingga pendidikan tinggi di universiti awam.

Mengulas lanjut, katanya, kerajaan juga sudah mewartakan pengecualian Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) terhadap perkhidmatan pendidikan di universiti awam seluruh negara.

Beliau berkata, mengikut Pertubuhan Kebudayaan, Saintifik dan Pendidikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Malaysia berada di tempat ketujuh dunia dalam menyediakan peruntukan kepada pendidikan tingi dan tempat ke-12 bagi perbelanjaan setiap seorang pelajar.

Berita Harian X