Sabtu, 4 November 2017 | 12:47pm
DATUK Seri Alias Ahmad (tengah) beramah mesra bersama pelajar semasa hadir pada Program Gotong-Royong di Sekolah Kebangsaan Pulau Aman, Pulau Pinang.- Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal
DATUK Seri Alias Ahmad (belakang tengah) bergambar bersama pelajar semasa hadir pada Program Gotong-Royong di Sekolah Kebangsaan Pulau Aman, Pulau Pinang. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

SK Pulau Aman terima sumbangan RM20,000

BATU KAWAN: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta masyarakat setempat digesa aktif mengumpul dana daripada syarikat swasta bagi kerja penyelenggaraan sekolah, khususnya yang sudah beroperasi melebihi 10 tahun.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad, berkata PIBG dan masyarakat setempat boleh mengumpul dana daripada syarikat swasta menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi tujuan berkenaan.

Beliau berkata, gesaan itu selari dengan fokus kementerian melakukan kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan semua sekolah yang tergolong dalam kumpulan sedemikian.

"Ia sejajar dengan anjakan kesembilan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang diperkenalkan iaitu bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas.

"Sumbangan boleh berbentuk secara 'one off' atau syarikat swasta melaksanakan program sekolah angkat atau sekolah amanah dengan pembiayaan syarikat mahupun mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Gotong-Royong Pengurusan Tertinggi Kementerian Pendidikan dalam siri jelajah terakhir di SK Pulau Aman di sini, hari ini.

Terdahulu, Alias turut menyalurkan peruntukan bernilai RM20,000 bagi kerja penyelenggaraan kecil atau pembaikan segera SK Pulau Aman.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Shaari Osman dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Aman, Nokman Che Abas.

Berita Harian X