Ahad, 5 November 2017 | 6:49pm
Pelajar Sekolah Seni Malaysia Johor dan guru bergambar bersama sijil dan pingat selepas memenangi Grand Prix dalam pertandingan International Competition of Folklore Dance and Music Prague Stars 2017 di Republic Czech selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto Mohd Fadli Hamzah

SseMJ menang Grand Prix pertandingan muzik, tarian

[email protected]

SEPANG: Sekolah Seni Malaysia Johor (SSeMJ) mengharumkan nama negara selepas 12 pelajarnya berjaya memenangi anugerah Grand Prix di International Competition of Folklore Dance and Music Prague Stars 2017 di Prague, Republik Czech pada 2 dan 3 November lalu.

Kemenangan dalam kategori muzik dan tarian melayakkan mereka memenangi anugerah tertinggi pada pertandingan tahunan itu dengan menewaskan 60 pasukan dari lebih 10 negara lain, dan membawa pulang hadiah berupa plak, pingat dan sijil penyertaan.

Guru Penolong Kanan sekolah itu, Abdul Jabar Shain, berkata ia adalah kemenangan pertama SSeMJ pada pertandingan anjuran European Association of Folklore Festival itu, selepas memenangi beberapa pertandingan antarabangsa lain sebelum ini.

"Pada pertandingan ini, kami cuba menampilkan keunikan dalam persembahan muzik dan tarian. Bagi kategori muzik, kami menggabungkan alat muzik tradisional Malaysia termasuk gendang, rebana, tabla, cak lempong dan gambus, menjadikannya alunan muzik kontemporari yang menyerlahkan cita rasa rakyat Malaysia.

"Bagi kategori tarian pula, kami mempersembahkan tarian piring yang berasal dari Negeri Sembilan, di mana tarian ini mempunyai unsur kesukaran berbanding tarian biasa lain," katanya ketika ditemui sejurus pulang dari Republik Czech di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Ditanya mengenai cabaran pada pertandingan itu, Abdul Jabar berkata, mereka perlu memastikan alat muzik yang dibawa berada dalam keadaan baik kerana cuaca sejuk yang mencecah suhu 4 darjah Celsius memberi kesan kepada bunyi alatan berkenaan.

"Kami terpaksa mengeringkan kulit rebana menggunakan pengering rambut dan meletakkan cak lempong di bawah alat pemanas supaya ia dapat menghasilkan alunan bunyi yang dimahukan," katanya.

Sementara itu, peserta pertandingan bagi kategori tarian, Afizul Amir, 16, berkata dia dan rakannya berlatih sehingga enam jam sehari untuk memastikan mereka dapat memberikan yang terbaik pada pertandingan itu.

"Pada saya, kekuatan kami adalah kerjasama berpasukan dan pertandingan ini menjadi pengalaman untuk kami belajar mengenai kelebihan dan kekurangan peserta negara lain," katanya.

Berita Harian X