Khamis, 16 November 2017 | 1:16pm
PROF Dr Kwan Mun Keong. - Foto Ihsan Pembaca
IR Dr Lai Khin Wee. - Foto Ihsan Pembaca
PROF Madya Dr Chris Chan Yin Wei.- Foto Ihsan Pembaca
IMBASAN X-ray menunjukkan keadaan tulang belakang seorang pesakit skoliosis. - Foto Ihsan Pembaca

Peranti ScolioS2 ukur keabnormalan tulang belakang

KUALA LUMPUR: Sekumpulan penyelidik Universiti Malaya (UM) berjaya mencipta peranti ScolioS2 yang mampu menentukan kewujudan dan mengukur tahap keabnormalan tulang belakang seseorang dengan teknik mudah serta menjimatkan masa.

Ketua penyelidik terbabit, Ir Dr Lai Khin Wee, berkata inovasi itu dibangunkan sebagai penyelesaian masalah melakukan diagnosis tepat mengenai penyakit skoliosis yang sebelum ini hanya dapat dikesan secara tepat menggunakan imbasan X-ray, manakala peralatan Scoliometer pula dikatakan tidak efisien.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan UM berkata, ScolioS2 berupaya mengukur kecondongan struktur tulang belakang apabila diletakkan di atas tubuh pesakit ketika membongkok.

"Peranti ini juga mampu mengukur sudut perbezaan bahu yang amat sukar ditentukan melalui kaedah sedia ada. ScolioS2 berupaya mengatasi permasalahan itu dengan menggunakan penderia bersesuaian," katanya.


PERANTI ScolioS^2 digunakan untuk mengukur keabnormalan pada paksi serenjang.. - Foto Ihsan Pembaca

Pengujian prototaip

Menyentuh kelebihan ScolioS2, Dr Khin Wee berkata, peranti mudah alih tanpa sinaran radioaktif dan tidak invasif itu juga amat bermanfaat dalam memudahkan pengamal perubatan menilai perubahan selepas pembedahan dilakukan terhadap pesakit.

"Pembangunan peranti ini tidak mengambil masa lama kerana menggunakan kelebihan proses pembuatan pencetak tiga dimensi (3D) dan bahannya ialah 'acrylonitrile-butadiene-styrene' (ABS) yang sesuai untuk peralatan elektrik atau elektronik bioperubatan," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Khin Wee berkata, hasil penyelidikan itu sedang dalam fasa pengujian prototaip oleh pakar perubatan diketuai Dr Chiu Chee Kidd di Jabatan Pembedahan Ortopedik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Beliau berkata, pakar perubatan bekerjasama dalam penyelidikan itu adalah diperakui dalam bidang pembedahan tulang belakang bukan sahaja di Malaysia tetapi juga pada peringkat antarabangsa.


BENTUK tubuh dari belakang kanak-kanak yang menghidap skoliosis. - Foto Ihsan Pembaca

Pesakit dikesan

"Pusat Inovasi dan Pengkomersialan UM (UMCIC) sedang menguruskan perkara berkaitan harta intelek penyelidikan ini.

"Selepas berada dalam pasaran nanti, peranti ScolioS2 boleh digunakan oleh pengamal kesihatan yang menguruskan pesakit skoliosis atau sebarang keabnormalan berkaitan tulang belakang," katanya.

Secara keseluruhan, Dr Khin Wee berkata, keadaan tulang belakang abnormal secara lateral dikenali sebagai skoliosis yang jika tidak dirawat, boleh menyebabkan kesukaran bernafas, kegagalan jantung serta sakit belakang.

Beliau berkata, dianggarkan 28 juta pesakit dikesan mengalami skoliosis di seluruh dunia pada 2015 dan dijangka meningkat kepada 32 juta (2033) serta 36 juta (2055).

"Jumlah itu sangat membebankan bidang penjagaan kesihatan kerana membabitkan kualiti hidup dan produktiviti seseorang secara langsung. Di Malaysia sahaja, lebih 90,000 pesakit dikesan tahun lalu," katanya.


PROTOTAIP peranti mudah alih ScolioS2 yang dihasilkan penyelidik UM. - Foto Ihsan Pembaca

INFO

Peranti ScolioS2

Pengujian prototaip oleh pakar perubatan di Jabatan Pembedahan Ortopedik PPUM

  • Prof Dr Kwan Mun Keong
  • Prof Madya Dr Chris Chan Yin Wei
  • Dr Chiu Chee Kidd

212 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »